BENTONG: Identiti mayat tujuh mangsa nahas van yang terbabas dan merempuh penghadang jalan ketika turun dari Genting Highlands di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands di sini, pada Rabu, telah dikenal pasti.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemandu van itu, Wong Choun Chiet, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian bersama lima penumpang lain iaitu Foong Ah Lan, 69; Lee Moy, 67; Goh Siew Kim, 61; Ang Meng Hong, 62; dan Siew Mei Tin, 72.

"Enam lagi penumpang yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, seorang lagi penumpang itu, Chang Them Kong, 70, disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital terbabit," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu malam.

BACA: 6 maut, 9 cedera van terbabas ketika turun Genting Highlands

Enam maut dalam nahas di Genting Highlands

Sementara itu, Ramli memberitahu, dua lagi penumpang telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan, namun dipindahkan ke Hospital Temerloh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akata Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Pulau Pinang.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati van itu telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan sehingga menyebabkan enam daripada mereka terkorban," jelasnya.

Ramli turut memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

Malah, pihaknya turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhati-hati dan berhemah, serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat.