Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak terus memainkan peranan utama dalam menjayakan proses penghantaran pulang guru dan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mengajar dan menuntut di Sarawak.

Proses penghantaran pulang itu melibatkan 553 orang yang bermula pada 19 dan 20 Jun 2020.

Pada Jumaat, seramai 109 orang telah diterbangkan ke Sibu menerusi pesawat sewaan khas milik Malaysia Airlines.

Antara guru dan mahasiswa yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Sabtu.

Manakala hari ini, sejumlah 444 orang lagi diterbangkan menerusi dua penerbangan berasingan juga menaiki pesawat disewa khas milik Malaysia Airlines tepat jam 2.00 dan 3.00 petang hari ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuching.

Antara guru dan mahasiswa yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Sabtu.

Menurut Penasihat Sarawak Volunteers, Fazzrudin Abdul Rahman yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Sabtu menyifatkan, usaha membawa semua terlibat melalui tiga penerbangan ke Sarawak ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Proses ini bukan sahaja untuk memastikan kesemua mereka selamat balik tetapi untuk memastikan keadaan mereka dalam keadaan yang baik agar sekolah ataupun pelajar yang bakal mereka ajar kelak akan berada dalam keadaan yang selamat.

“Malah dengan proses ini juga, ia akan beri keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agar proses pengajaran dan pembelajaran normal baharu dapat dimulakan dengan secepat mungkin,” tambahnya.

Sebelum ini menerusi kenyataan dikeluarkan sempena 100 hari Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya akan terus koordinasikan perjalanan pulang rakyat negeri itu ke destinasi sepatutnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Fadillah yang juga Penaung Sarawak Volunteers, proses ini turut melibatkan pergerakan guru-guru dan mahasiswa dari Sarawak yang mengajar dan menuntut di Semenanjung, Sabah dan Labuan.


Ia turut melibatkan kerjasama dengan beberapa agensi lain bagi membolehkan koordinasi itu berjalan lancar.

Sebelum ini, Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers berjaya menghantar pulang 9,668 mahasiswa ke kampung halaman mereka di Sarawak susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.