KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menugaskan seramai 11,085 anggota kesihatan awam bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata langkah tersebut diambil dalam usaha memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada mangsa banjir.

Selain itu, beliau berkata seramai 4,263 anggota yang terdiri daripada 1,820 petugas Rapid Assessment Team (RAT) dan 2,443 petugas Rapid Respond Team (RRT) turut akan melaksanakan penilaian dan respons cepat kepada mangsa-mangsa atau isu yang melibatkan bencana.
 

“Berdasarkan data dikumpul daripada Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 552 daripada 2,891 fasiliti kesihatan KKM berisiko mengalami bencana banjir.

“Hadirin semua mungkin masih ingat bencana banjir terburuk yang melanda Kelantan dan negara pada tahun 2014 di mana Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Hospital Kuala Krai dan kebanyakan fasiliti kesihatan KKM ditenggelami banjir dalam tempoh yang agak lama,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Bencana dan Pelancaran Buku “An Overview Of Disaster Life Support In Disaster Management” di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Harjeet Singh, dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli.

Mengulas lanjut, Khairy berkata selain kesiapsiagaan menghadapi banjir, pasca banjir juga perlu diambil perhatian yang serius bagi mengurangkan beban dan kesulitan, sekali gus melancarkan penyampaian perkhidmatan pasca banjir.

“Sebagai contoh, kejadian banjir di Shah Alam dan Hulu Langat sebelum ini yang menghadapi masalah pembersihan lumpur yang tebal dengan kekurangan peralatan pembersihan.

“Dalam hal ini, semua Jabatan Kesihatan Negeri telah diarah untuk mengambil tindakan awal membuat perolehan peralatan yang diperlukan seperti water jet dan genset,” ujar Khairy.

Dalam masa yang sama, Khairy yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau menambah, KKM mengambil inisiatif dengan melakukan pemantauan ubat-ubatan berkala secara mingguan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

Di samping itu, katanya KKM akan menyelaras mobilisasi stok ubat-ubatan semasa banjir bagi stok yang mengalami kekurangan.
 
“Pemantauan terhadap kes-kes penyakit berjangkit juga akan diberi penekanan khususnya penyakit bawaan air seperti kolera (taun), demam tifoid (kepialu), leptospirosis (kencing tikus) dan hepatitis A.

“Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya komplikasi umum penyakit bawaan air seperti jangkitan kuman dalam darah, kegagalan fungsi buah pinggang dan hati serta kematian,” ujar Khairy lagi.

Mengenai pelancaran buku pula, beliau berharap ia boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada pengamal perubatan serta kakitangan agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana.

Khairy berkata, buku berkenaan menggambarkan keprihatinan dan usaha berterusan KKM untuk memperkasakan kakitangannya dengan pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan bencana.