Kerja-kerja pembaikan paip pecah berhampiran Pudu Ulu Baru, Jalan Semerah Padi di sini siap pada 10 pagi ini dan sehingga 3 petang ini penyaluran bekalan air di kawasan terjejas telah mencapai tahap 55 peratus, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berkata pihaknya mula menyalurkan bekalan air ke kawasan terjejas sebaik sahaja kerja pembaikan itu siap.

Katanya Air Selangor masih dalam proses menstabilkan agihan bekalan air dan menjangkakan pemulihan sepenuhnya di kawasan-kawasan terlibat pada 10 pagi esok.

"Bantuan air melalui lori-lori tangki terus digerakkan bagi membantu para pengguna yang terjejas. Bagi mendapatkan bantuan air melalui lori tangki, pengguna boleh menghubungi talian 15300," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com

-- BERNAMA