IPOH: Sebanyak 49 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini bersiap sedia bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama seluruh Perak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin, antara lokasi PPV ialah di Stadium Indera Mulia di sini.

Katanya, bagi fasa kedua dan ketiga pelaksanaan vaksinasi, tambahan lokasi (dewan) akan dikenal pasti kesesuaiannya oleh Pegawai Daerah untuk dijadikan PPV.

"Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Indera Mulia pada Selasa, 23 Februari ini.

"Baginda Tuanku amat prihatin dan cakna terhadap program pelaksanaan vaksinasi ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Antara lokasi PPV ialah di Stadium Indera Mulia.

Jelasnya, mengikut jangkaan pada fasa pertama, Perak akan menerima sebanyak 79,560 dos vaksin.

Manakala bilangan petugas barisan hadapan yang akan menerima vaksin pada fasa tersebut ialah 33,503 orang, termasuk Menteri Besar serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Perak.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech

Katanya lagi, pendaftaran awam bagi pelaksanaan vaksinasi akan bermula pada Mac 2021, manakala bagi fasa kedua akan bermula April hingga Ogos.

"Bagi fasa kedua adalah golongan warga emas 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan orang kelainan upaya (OKU).

"Manakala untuk fasa ketiga bermula bulan Mei 2021 hingga Februari 2022, iaitu bagi penduduk berumur 18 tahun ke atas untuk warganegara atau bukan warganegara.

"Keutamaan akan diberikan kepada zon merah, seterusnya kuning dan hijau," jelasnya.

Untuk orang awam, kaedah pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera, melalui laman sesawang www.vaksincovid.gov.my dan fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

Talian hotline akan dimaklumkan kemudian.

Program bantuan 'outreach' bagi kawasan luar bandar dan pedalaman juga antara kaedah yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua berita vaksin COVID-19