Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan membuka semula operasi Kedai Tenaga di 47 lokasi kategori zon hijau dan kuning COVID-19 mulai Isnin.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, TNB berkata lokasi tersebut termasuk Putrajaya, Johor, Pahang, Terengganu dan Melaka serta di Seri Manjung, Perak (kecuali di Pusat Transformasi Bandar atau UTC).

"Operasi bacaan meter dan penyerahan bil elektrik di negeri-negeri berkenaan pula akan dimulakan semula pada 19 Mei 2020 secara berperingkat," katanya.

Pembukaan semula 47 Kedai Tenaga itu sekali gus membolehkan pelanggan TNB melakukan transaksi berkaitan di 92 Kedai Tenaga (kecuali UTC) serta 57 kios pembayaran secara layan diri.

Pada 12 Mei lalu, TNB telah menyambung semula operasi Kedai Tenaga serta operasi bacaan meter secara berperingkat bermula di Kedah, Perlis, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak (kecuali Sri Manjung), sejajar dengan kelonggaran yang diberikan untuk sektor perkhidmatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain pembayaran bil elektrik, transaksi lain di Kedai Tenaga termasuk pertanyaan bil, permohonan baharu bekalan elektrik, penukaran nama penyewa dan penutupan akaun semasa dengan operasi 9 pagi sehingga 4 petang kecuali hujung minggu dan cuti umum.

Kios pembayaran secara layan diri pula beroperasi pada 8 pagi hingga 8 malam.

-- BERNAMA