Penerbangan haji pertama berlepas 1.30 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, Arab Saudi dengan 450 jemaah.

Penerbangan melalui Saudi Airlines SV5501 itu mengambil masa lapan jam dan dijangka tiba di Madinah pukul 11 pagi waktu Malaysia.

Kesemua jemaah haji sebelum itu diberi taklimat ringkas di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada kira-kira 9.30 malam oleh Pengerusi Kumpulan Tabung Haji Datuk Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Paduka Ismee Ismail.

Sejumlah 22,320 jemaah akan menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini dan bertolak secara berperingkat mulai awal pagi ini, termasuk menggunakan Malaysia Airlines (MAS).

Penerbangan terakhir ke Madinah ialah pada 9 Okt ini manakala fasa kedua, iaitu operasi membawa balik jemaah haji, akan bermula 21 Okt ini dan penerbangan pulang ke tanah air terakhir ialah pada 18 Nov.

Pengarah Operasi Kelana Jaya Md Ridza Md Zain, dalam kenyataan media, menyebut terdapat tujuh stesen pelepasan haji kali ini selain KLIA iaitu Senai, Bayan Lepas, Alor Setar, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata terdapat 1,200 petugas haji di tanah air dan 564 orang bagi penugasan kebajikan serta perubatan di tanah suci.

Sementara itu, seorang jemaah, Zainal Abidin Wagiman, 67, dari Teluk Panglima Garang, Selangor bersyukur kerana hasrat menunaikan haji bersama isterinya, Marpunga Omar, 63, tercapai.

"Kami menunggu sekian lama untuk giliran dan akhirnya tiba hari ini. Perasaan berdebar-debar, dan pelbagai persiapan telah disiapkan sebelum ini," katanya.

Seorang lagi jemaah, Zainuddin Ismail, 40, dari Kota Baharu, Kelantan berkata beliau mendaftar untuk menunaikan haji sejak berumur 18 tahun dan bersyukur terpilih tahun ini.

"Berkat kesabaran, akhirnya impian saya tercapai jua. Terima kasih kepada Tabung Haji, keluarga dan rakan yang mendoakan pemergian saya," katanya.