PUTRAJAYA: Jika anda berniat untuk melakukan jenayah di Putrajaya, lupakan saja niat itu!

Ini kerana Putrajaya mempunyai 427 kamera litar tertutup (CCTV) sebagai mata yang mengawasi segala tindak-tanduk mencurigakan di kawasan awam menerusi Putrajaya Command Center (PCC).

Ketua Seksyen Smart City Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Jabatan Perkhidmatan Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohd Musabri Shaharom berkata, kemudahan tersebut selaras dengan rangka tindakan Putrajaya sebagai Bandar Pintar.

Menurutnya, CCTV akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan bagi meliputi 49,000 meter persegi keluasan Putrajaya.

“Kesemua CCTV di sini dilengkapi teknologi Intelligent Video Analytic (VIA), kualiti video full HD dan keupayaan membuat pengecaman dari jarak empat kilometer.

“Ia ditempatkan di lokasi-lokasi strategik termasuklah kawasan berisiko dan juga di semua pintu masuk Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, penempatan CCTV ini dibuat PPj bersama agensi penguatkuasaan menerusi libat urus yang dijalankan.

“Kita akan bagi keutamaan kepada pihak penguat kuasa dan CCTV ini tidak ditempatkan di kawasan perumahan bagi menjaga privacy penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Musabri berkata, teknologi VIA juga mampu mengesan pencerobohan ke kawasan larangan atau kawasan sensitif, mengesan perhimpunan manusia, objek atau barang yang dialih dan juga mengesan barang yang ditinggalkan.

Tambahnya, kecanggihan sistem itu turut dapat membantu petugas mengesan insiden yang melibatkan keselamatan jalan raya seperti kenderaan dipandu lawan arah, berhenti di kawasan tidak sepatutnya dan ia juga dapat mengesan insiden kemalangan jalan raya.

Selain itu, PCC juga dilengkapi Sensor Internet of Thing (IoT) yang digunakan untuk mengesan kualiti alam sekitar termasuk mengesan pencemaran kualiti air tasik, paras air, kadar hujan, suhu, halaju angin, ketinggian paras air dan kerosakan pada fasiliti.

“Sekiranya berlaku tumpahan benda asing ke dalam tasik, sensor akan bertindak dan menghantar isyarat ke PCC untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Begitu juga dengan lampu isyarat yang dikawal sepenuhnya di PCC.

“Sekiranya ada pembesar negara atau delegasi luar negara menggunakan jalan sekitar Putrajaya, pihak trafik akan berhubung dengan PCC bagi memastikan kelancaran pergerakan,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat 89 butang panik ditempatkan di kawasan awam seperti pesisir tasik dan taman- taman bagi meningkatkan tahap keselamatan warganya.

“Sekiranya orang awam menghadapi masalah, mereka boleh sahaja menekan butang panik itu dan berinteraksi dengan petugas PCC secara langsung sebelum bantuan dihantar dengan kadar segera,” katanya.

Mohd Musabri berkata, PCC akan beroperasi 24 jam sehari dengan tiga syif.

“Seorang komander akan mengetuai pasukan bagi setiap syif,” katanya.

Beliau berkata, kawalan ketat dikenakan di dalam PCC bagi mengelakkan rakaman dibocorkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Di sini hanya polis sahaja dibenar mengambil rakaman bagi membantu menyelesaikan kes yang sedang mereka disiasat,” katanya.

Tambah beliau, PCC telah memenangi Anugerah Emas Innovative Planning Award pada tahun 2022. - Sinar Harian