“Cuaca di sini panas dan menyengat, namun saya gembira kerana hari ini saya dapat melangkah ke sekolah bersama adik-adik saya.” Itulah luahan Aisyah Azizul Abdul Raheem, anak sulung kepada pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden yang memulakan sesi persekolahannya di Tingkatan 3, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala di Kelantan.

Adiknya, Ammar pula memasuki Tingkatan Satu manakala Adam di Darjah Enam manakala Arif di Darjah 2 di Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Kala yang terletak sebelahan dengan Sekolah Menengah Padang Kala.
Majlis meraikan kedatangan pelajar ini diadakan pagi tadi dengan kehadiran Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussein Awang yang turut menyampaikan bantuan pinjaman buku teks kepada pelajar berkenaan.

Ketika ditemui Aisyah menjelaskan, beliau gementar pagi tadi sebelum tiba di sekolah, namun apabila melihat suasana sekolah ini beliau gembira.

“Pagi tadi nervous sampai nak gi toilet,now lega ok dan cikgu ok, kawan-kawan wah banyaknya ..harapan…expactations tak tahu lagi…harap dapat terima.”


Aisyah menjelaskan, beliau bangun jam 6 pagi tadi bersama adik-adiknya dan menyiapkan diri termasuk bersarapan bersama keluarga emak saudaranya sebelum datang ke sekolah ini.

Adik-adiknya juga tidak merasa sedih bahkan gembira ketika menyiapkan diri untuk datang ke sekolah.

Aisyah ditempatkan di Tingkatan 3 Mulia dan adiknya Ammar di Tingkatan Satu Mulia, manakala Adam di Darjah 6 Rajin dan Arif di Darjah 2 Rajin.

Sementara itu guru besar Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Kala, Abdul Aziz Salleh memaklumkan kedua pelajar berkenaan yang berada di sekolah rendah ini akan diberi perhatian khusus bagi menguasai Bahasa Melayu.

“Sebenarnya pihak sekolah telah melantik guru penyelaras dan dua guru pembimbing di mana guru ini akan memantau dua orang murid ini dari segi perkembangan bahasa dan komunikasi dengan kawan-kawan dan tugas dua guru ini memantau.”

Katanya dua pelajar berkenaan tidak dapat bertutur dalam Bahasa Melayu dan proses untuk mereka berkomunikasi dalam Bahasa Melayu akan dilakukan oleh dua guru pembimbing berkenaan.

Ianya penting bagi memudahkan pelajar berkenaan menyesuaikan diri dan menjalani sesi persekolahan dengan lebih mudah.

Katanya guru berkenaan akan membimbing sehingga pelajar berkenaan dapat menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran sekolah ini.

Guru berkenaan juga akan mengadakan kelas khas Bahasa Melayu untuk Adam dan Ariff.

Sementara itu, bapa saudaranya, Badrul Hisham Makhzan terharu dengan keprihatinan Jabatan Pelajaran Negeri, JPN yang memberikan perhatian kepada 4 beradik ini.

Katanya pihak keluarganya juga ada menghantar gambar empat beradik ini ke Sweden melalui peguam untuk ditunjukkan kepada ibubapa mereka perkembangan terkini anak-anak mereka.

“Kami ada menghantar gambar-gambar yang diambil keratan akhbar yang keluar sebelum ini dan di hantar kepada peguam bela kepada ibubapa jadi gambar ini dah ditunjukan kepada mereka apabila peguam pergi jumpa mereka di pusat tahanan dan mereka gembira dapat lihat apa yang berlaku di Malaysia dan berterima kasih kerana bersusah payah membantu anak-anak ini.”

Menurutnya lagi, kesemua 4 beradik ini nyata gembira kerana dapat bersekolah hari ini namun mereka ada merungut mengenai keadaan cuaca yang panas di sini.