KUALA TERENGGANU: Seramai 319 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di Terengganu telah dipindahkan ke sekolah lain yang sesuai untuk memastikan mereka dapat mengambil peperiksaan itu dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat berkata mereka adalah pelajar empat sekolah iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu dan sebuah di Kemaman.

Di Hulu Terengganu, seramai 131 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dipindahkan ke SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu manakala 63 pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Hulu Terengganu dipindahkan ke SM Imtiaz Kuala Terengganu dan 41 calon Madrasah Moden Hulu Terengganu dipindahkan ke SMA Khairiah di Kuala Terengganu.

"Di Kemaman pula, 84 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dipindahkan ke SMK Cheneh Bharu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Seramai 18,815 calon SPM 2021 akan menduduki peperiksaan itu di 170 pusat di seluruh Terengganu bermula esok.

Ditanya kekangan yang mungkin dihadapi calon SPM terbabit seperti tidak memakai uniform sekolah, Satiful Bahri berkata mereka diberi kelonggaran khas kerana sedang ditimpa musibah.

"Kalau pakaian sekolah semua tenggelam kerana tidak sempat diselamatkan, mereka boleh hadir dengan berpakaian sopan kerana yang penting calon hadir untuk menduduki peperiksaan.

"Saya difahamkan pihak sekolah pun menyediakan pakaian sekolah serta alat tulis agar semua calon SPM yang terjejas banjir dapat mendudukinya dengan tenang dan selesa," katanya.

-- BERNAMA