Seramai 264 individu dikompaun RM1,000 kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan berhibur di premis pusat hiburan di sekitar bandar raya itu dan di daerah Kulai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor ACP Mohd Afzanizam Yahaya berkata mereka adalah sebahagian daripada 295 orang yang diperiksa dalam empat serbuan di beberapa pusat hiburan pada Sabtu dan Ahad.

Beliau berkata dalam serbuan pada 11 malam pada Sabtu, seramai 152 individu didapati berhibur di sebuah pusat hiburan di bandar raya itu diperiksa dan tiga daripada mereka yang berumur antara 23 dan 36 tahun didapati positif dadah.

"Turut ditahan seorang lelaki berusia 32 tahun mengaku sebagai pemilik premis itu dan gagal mematuhi syarat lesen perniagaan kerana menjual dan menghidang minuman alkohol, selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta prosedur operasi standard (SOP) perniagaan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata dalam tiga serbuan di premis hiburan di sekitar bandar raya Johor Bahru dan Kulai pada Ahad pula, seramai 143 individu diperiksa.

"Operasi secara serentak itu dilakukan bermula 12.30 tengah malam tadi (Sabtu) sehingga 8.30 pagi ini (Ahad) dan hasil ujian saringan air kencing terhadap mereka yang diperiksa mendapati 31 orang berumur antara 17 dan 56 tahun positif dadah,” katanya.

-- BERNAMA