MARANG: Sebanyak 25 buah premis termasuk kediaman serta kedai di sekitar Bukit Payong di sini, rosak teruk selepas dilanda ribut petang ini.

Seorang penduduk Jamsari Mohamed, 43, berkata kejadian berlaku pada kira-kira 2.30 petang ketika beliau dan ibunya Minah Mat Ali, 69, sedang berehat di ruang tamu rumah mereka, selepas solat Zohor.

Jamsari berkata kejadian itu menyebabkan 90 peratus bumbung rumah dan bengkel milik abangnya yang terletak bersebelahan rumah mereka, rosak selepas diterbangkan angin dan ribut kuat yang berlaku dalam sekelip mata.

"Pada mulanya hujan biasa-biasa sahaja, memang tak sangka ribut teruk sehinggalah bunyi dentuman kuat dari atas bumbung rumah.

"Apabila jenguk keluar saya terkejut apabila lihat bumbung terbang satu persatu depan mata. Hujan juga mulai lebat dan ruang dalam rumah mula dipenuhi air," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Undang, Bukit Payong hari ini.

Jamsari berkata menyedari kejadian tersebut, dia bergegas menyelamatkan ibunya dan segera keluar daripada rumah, kerana bimbang dihempap bumbung atau terkena renjatan elektrik.

"Waktu itu hanya fikir keselamatan mak yang sudah tua, barang-barang memang saya tak fikir langsung. Tak kisah rosak kerana nyawa mak lebih penting," katanya yang merancang untuk tumpang bermalam di rumah adiknya di kampung berdekatan.

Seorang pemilik kedai runcit Rosmawati Mohd Saffi, 46, pula berkata ketika kejadian dia tiada di kedai, kerana sedang mengajar Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang.

Dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi anak perempuannya Nor Anis Nazihan Adnan, 18, dalam keadaan cemas dan menangis teresak-esak kerana ketakutan.

"Selepas terima panggilan saya terus bergegas ke kedai, kerana risau dengar dia (Nor Anis Nazihah) menangis teresak-esak, tak faham sangat apa yang dia cerita awalnya.

"Ketika keluar memang ribut kuat dan hujan lebat, tetapi saya gagahkan juga kerana bimbang keselamatan anak perempuan, yang seorang diri di kedai," katanya.

Rosmawati berkata ketika tiba di kedai, hujan masih lebat dan beberapa penduduk kampung tumpang berteduh di kedainya mencari perlindungan.

"Sudah hampir 20 tahun saya berniaga di sini, inilah kali pertama ribut seteruk ini berlaku. Walaupun banyak kerosakan terutama atap yang diterbangkan angin, saya bersyukur kerana anak dan orang kampung selamat," katanya.

Sehubungan itu, Rosmawati berkata beliau serta penduduk yang lain berharap, supaya pihak berkenaan dapat segera menghulurkan bantuan kepada mangsa ribut yang terjejas.

Sementara itu Pegawai Bahagian Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Payong Kamanordin Md Jusoh, berkata setakat ini hanya 25 premis dikenal pasti terjejas dalam kejadian hari ini.

Beliau berkata pihaknya bagaimanapun akan menjalankan siasatan lanjut, jika masih ada penduduk yang terjejas namun belum melaporkan kepada pihak terbabit.

Katanya nilai kerugian masih belum dapat dipastikan, namun bantuan segera akan disalurkan bagi meringankan beban dan keselesaan penduduk yang terlibat memandangkan pada masa ini hujan kerap susulan peralihan ke musim monsun timur laut.

-- BERNAMA