Hari ini, genap 24 tahun pemergian penyanyi kesayangan ramai ini ke pangkuan Ilahi.
Lagenda ini tidak asing lagi dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri serta lincah dengan showmanship di pentas, sesuatu yang kurang kelihatan pada zamannya.
Paling diingati adalah kepelbagaian fesyen yang digayakan beliau sewaktu persembahan.
Anak jati Pahang ini dilahirkan pada 25 Mei 1954 dan sekiranya beliau masih hidup ketika ini, usianya sudah menjangkau 62 tahun.
Mengimbas kembali kejayaan ketika hayat Allahyarham, beliau memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai "Juara Bintang RTM 1976" pada 11 Ogos 1976.
Allahyarham juga adalah satu-satunya pemegang gelaran "Penghibur Nombor 1 Asia" iaitu pada 19 Mac 1989 sebelum kehadiran Datuk Siti Nurhaliza.
Sudirman pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dan menghasilkan minuman berkarbonat jenama Sudi - Foto Sumber Arkib Negara
Malah Allahyarham turut dikenali dengan gelaran seperti "Penghibur Milik Masyarakat", "Seniman Rakyat" dan "Elvis Malaysia".
Allahyarham bukan sakadar terkenal sebagai seorang penyanyi, dan penghibur malah berkebolehan sebagai penggubah lagu, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, pelakon dan pernah bergelar seorang peguam.
Siapa yang boleh melupakan lagu-lagu 'catchy' Allahyarham seperti Pelangi Petang, Warisan, Milik Siapakah Gadis Ini, Sepetang Di Pinggir Bukit dan banyak lagi.
Antara persembahan Allahyarham yang masih diingati sehingga kini
Lagu-lagu dendangannya mampu menggambarkan kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup rakyat Malaysia.
Bait lirik daripada lagu nyanyiannya, Warisan pada tahun lalu diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan yang ke-57 berjudul, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.
Manakala lagu-lagu seperti Balik Kampung, Salam Terakhir dan Merisik Khabar masih menjadi siulan anak-anak muda sehingga era ini walaupun tidak hidup pada zaman kegemilangan Allahyarham.
Sekitar 1991, Allahyarham dikhabarkan berada dalam keadaan tidak sihat dan selama tujuh bulan Allahyarham terlantar sakit akibat radang paru-paru.
Laporan berita pemergian Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad
Pada 22 Februari 1992, sekitar jam 4pagi, ketika berusia 37 tahun lagenda kesayangan ramai ini telah kembali ke rahmatullah di rumah kakaknya Datin Rudiah Arshad di Bangsar Park, Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3.45 petang.
Ribuan peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah hadir meberikan penghormatan terakhir.
Walaupun Malaysia tiada lagi Sudirman, sejarah yang ditempa Allahyarham seperti konsert jalanan percuma di Chow Kit, cermin mata hitam ikoniknya, penjualan air tin minuman ‘Sudi’, lakonannya dalam filem Kami dan banyak lagi akan menjadi cerita indah dalah sejarah industri seni.