KUALA LUMPUR: Seramai 223,923 individu yang disenarai dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah menerima suntikan vaksin setakat 10 Mac 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan jumlah paling tinggi penerima suntikan dos pertama, melibatkan seramai 28,184 orang.

Ia diikuti Selangor dengan jumlah keseluruhan 24,211 penerima suntikan; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (20,510) dan Sabah (18,670).

“Selain itu, Johor merekodkan jumlah suntikan sebanyak 17,476; diikuti Perak(17,459); Pahang (17,434); Kelantan (14,982); Kedah (14,200); Terengganu (14,982) dan Negeri Sembilan iaitu sebanyak 10,741 individu.

“Negeri lain kekal merekodkan jumlah dibawah 10,000 iaitu Pulau Pinang sebanyak 9,811 individu, diikuti Melaka (6,258); Perlis (5,241); Wilayah Persekutuan Putrajaya (3,337) dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu sebanyak 2,338 individu," katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya hari ini.


Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Noor Hisham menjadi individu pertama menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.