TAHUN 2018 merupakan di antara tahun bersejarah buat negara Malaysia tercinta. Mengimbas kembali, yang paling terpahat di ingatan rakyat semestinya adalah keputusan Pilihanraya Umum ke-14 yang mengisytiharkan kerajaan baharu buat pertama kali sejak kemerdekaan.

Ramai yang menyifatkan perubahan ini sebagai petanda baik dan hasil lanjutan peningkatan pemikiran yang semakin terbuka di kalangan pengundi.

Ada yang mengatakan bahawa keterbukaan ini adalah hasil pendedahan rakyat yang kian meningkat hasil pembangunan sosio-ekonomi yang pesat, termasuk kepenggunaan teknologi maklumat dan kebolehan rakyat Malaysia untuk ke luar negara untuk berniaga ataupun melancong.

Yang menarik perhatian di sini adalah pendedahan, kerana pendedahan seringkali dikaitkan sebagai kekunci kepada kematangan berfikir, seterusnya kemajuan dan kejayaan.

Budaya rakyat Malaysia sekian lama sudahpun cenderung kepada pendedahan dan pengantarabangsaan, sehinggakan peribahasa “Jaguh Kampung” seringkali dikaitkan dengan konotasi negatif.

“Katak di bawah tempurung” juga merupakan simpulan bahasa untuk menggambarkan seseorang yang berfikiran sempit.

Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia pada suatu masa dulu dikenali sebagai “Harimau Asia” sempena pembangunan ekonomi yang pesat dan mampan.

Di Asia Tenggara ataupun lebih dikenali sebagai ASEAN, Malaysia pernah pada suatu masa dahulu menerajui pembangunan benua ini dan merupakan salah satu negara contoh.

DI manakah Malaysia berada sekarang di kalangan ekonomi benua ASEAN yang dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam?

Kini, benua ASEAN merupakan kelompok negara yang mencatat pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di dunia dan berjaya menarik perhatian pelabur dan syarikat-syarikat besar dunia.

Tambahan lagi, dengan kehadiran revolusi industri digital, terdapat pelbagai peluang keusahawanan yang menghasilkan syarikat keusahawanan di ASEAN yang bernilai sehingga ratusan bilion ringgit.

Persoalannya, di manakah Malaysia berada sekarang di kalangan ekonomi benua ASEAN yang dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam?

Realitinya, saiz ekonomi berdasarkan GDP Malaysia sekadar di tangga ke-4 terbesar dan lebih merisaukan adalah kadar pertumbuhan yang sekadar tangga ke-7 tertinggi.

Penurunan ini jelas menunjukkan pembangunan yang lebih lemah berbanding negara-negara jiran, dan tinjauan lanjut juga mendapati bahawa tahap pendedahan dan kesedaran rakyat Malaysia tentang integrasi ekonomi benua adalah yang tercorot di antara 10 negara anggota ASEAN.

Walaupun pada masa ini Malaysia masih dipandang tinggi dari segi pembangunan ekonomi, ini tidak akan kekal berdasarkan pertumbuhan pesat oleh negara-negara seperti Vietnam dan Filipina yang semakin membesar dan berjaya mengambil kesempatan di atas kadar pertumbuhan benua.

Dengan suasana ekonomi global yang tidak menentu, ini merupakan peluang yang baik untuk Malaysia mencari peluang untuk mengetengahkan industri lonjakan ataupun “leapfrog industries” seperti industri smart-agri, tenaga hijau, blockchain, keusahawanan sosial, fintech dan bermacam lagi.

Segalanya bermula dengan peningkatan pendedahan tentang peluang-peluang perniagaan dan keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia.

Adalah penting untuk kita mencungkil dengan lebih mendalam perkara-perkara yang dapat diketengahkan, dengan hasrat agar Malaysia kembali sebagai kuasa ekonomi benua yang disegani.
Segalanya bermula dengan peningkatan pendedahan kita semua kepada peluang-peluang yang dapat diraih.




* Syed Nabil Aljeffri ialah pengasas Persatuan Usahawan Asean Malaysia dan Majlis Usahawan Muda Asean.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.