KUALA LUMPUR: Kerajaan, menerusi Fasa Pertama Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Sabah mulai 29 Jun hingga 12 Julai.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan Kampung Nahaba Tegudon dan Kampung Linau di Kota Belud susulan peningkatan kes COVID-19 di kedua-dua lokaliti.

Beliau berkata sembilan kes positif telah direkodkan hasil daripada 48 ujian saringan di Kampung Nahaba Tegudon manakala 11 kes positif direkodkan daripada 15 ujian saringan di Kampung Linau.

"Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pengesanan awal kes positif dan kontak rapat supaya dapat diasingkan serta menyekat pergerakan dan penularan jangkitan keluar dari lokaliti tersebut," menurutnya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD hari ini.

Ismail Sabri berkata PKPD di Kampung Penimbawan, Tuaran, Sabah yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan dari 29 Jun hingga 12 Julai berikutan penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta masih terdapat jangkitan baharu yang direkodkan.

Ismail Sabri juga berkata sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 1,693 ujian saringan dan 53 daripadanya disahkan positif COVID-19.

PKPD di lima subzon Wilayah Persekutuan Labuan dan Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri) di Tawau, Kampung Lebak Moyoh di Kota Belud serta Kampung Tanjung Kapor di Kudat, kesemuanya di Sabah dan Kampung Tabuan Haji Drahman di Kuching, Sarawak akan ditamatkan pada 11.59 malam esok seperti dijadualkan.

Lokaliti PKPD yang turut ditamatkan esok namun lebih awal daripada dijadualkan ialah 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Stalon, Tanjung Manis, Mukah di Sarawak (dijadual tamat pada 29 Jun) selepas berlaku penurunan kes selain kluster yang terkawal dan semua kes positif telah menerima rawatan.

Menyentuh pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP pula, beliau memaklumkan seramai 798 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 762 individu dikompaun manakala 24 direman dan 12 dijamin.

Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (172 kes), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (119), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (114), tidak memakai pelitup muka (108), membawa penumpang berlebihan (69) dan lain-lain (216).

Mengulas kekeliruan peranan pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops yang telah diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata terdapat dua pembahagian tugas iaitu Pasukan Petugas Kebangsaan diketuai ATM manakala Pasukan Petugas Operasi Pematuhan diketuai PDRM.

"Pasukan Petugas Kebangsaan diketuai ATM menerusi Op Benteng yang melibatkan kawalan sempadan negara bersama-sama 11 agensi lain termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia manakala Pasukan Petugas Operasi Pematuhan pula diketuai oleh PDRM dan dibantu oleh ATM, Angkatan Pertahanan awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain bagi tujuan pemantauan pematuhan SOP sama ada melalui Sekatan Jalan Raya atau pemeriksaan di tempat-tempat awam," katanya.

Beliau berkata kedua-dua pasukan petugas diwujudkan sejak PKP 1.0 dan setelah PKP 3.0 dilaksanakan, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PDRM telah diperluas kepada pemeriksaan terhadap kilang yang melanggar arahan dan SOP.

"Memandangkan telah wujud Pasukan Petugas Operasi Pematuhan di bawah PDRM yang menjalankan tugas memantau pematuhan SOP di tempat awam termasuk premis perniagaan, maka Sidang Khas MKN berpandangan tidak perlu diwujudkan Pasukan Petugas Khas.

"Justeru, saya berharap semua pihak faham setiap pembahagian tugas dan gerak kerja yang melibatkan ATM dan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara," katanya.