PAPAR: Dua lagi Baitul Mahabbah atau penempatan khas sementara kanak-kanak warga asing seliaan Jabatan Imigresen bakal diwujudkan masing-masing satu di Kelantan dan Sarawak tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kedua-dua Baitul Mahabbah berkenaan akan diwujudkan dalam masa terdekat di depot Imigresen sedia ada di Miri, Sarawak dan di Tanah Merah, Kelantan.

"Kita telah memilih kedua-dua tempat berkenaan kerana ada keperluan ia diwujudkan di sana dan selepas itu kita akan kenal pasti negeri lain. Penempatan berkenaan bertujuan memastikan kebajikan kanak-kanak yang berada di depot Imigresen terus terpelihara dan selamat.

"Penempatan ini membabitkan kanak-kanak yang mempunyai penjaga atau sebaliknya. Ia bersifat sementara sehingga urusan dokumentasi mereka dapat disiapkan bagi tujuan dihantar pulang ke negara asal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Papar di sini hari ini.

Beliau berkata Baitul Mahabbah ialah inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan mengadakan kerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) dalam proses melengkapkan peralatan dan kemudahan untuk keselesaan kanak-kanak di penempatan berkenaan.

"Setakat ini, kita telah mewujudkan dua Baitul Mahabbah, yang pertama dibuka September lepas di Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, Negeri Sembilan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk mewujudkan Baitul Mahabbah pada tahun depan.

"Pada masa ini, depot tahanan di seluruh negara menempatkan kira-kira 12,400 orang dan daripada jumlah berkenaan 1,400 ialah kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah. Kalau depot biasa ini tidak selesa untuk didiami oleh kanak-kanak, kita akan pindahkan kanak-kanak dan penjaganya ke Baitul Mahabbah.

"Idea mewujudkan tempat ini adalah disebabkan adanya keperluan mendesak dan kesedaran kita untuk memberikan tempat yang selesa untuk kanak-kanak sebelum mereka dikeluarkan daripada depot tahanan berkenaan," katanya.

Mengenai Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Papar, Saifuddin Nasution berkata ia mampu menempatkan hingga 150 orang.

"Namun, sekarang tempat ini menempatkan 62 orang iaitu 40 kanak-kanak dan 22 penjaga," katanya.

-- BERNAMA