Presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hari ini menjelaskan bahawa beliau hanya menerima jemputan untuk menghadapi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) melalui Kementerian Kewangan, pada 21 Mei.

Arul Kanda berkata, jemputan yang dialamatkan kepada Kementerian Kewangan itu, meminta penampilan syarikat itu di hadapan PAC pada 26 Mei.

Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata surat itu telah dihantar ke Kementerian Kewangan pada 6 Mei dengan notis 20 hari untuk Arul Kanda dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Shahrol Halmi untuk menghadap PAC pada Mei 26.

"Setelah menerima surat ini, 1MDB telah pun menjawab kepada Kementerian Kewangan pada 21 Mei, iaitu pada hari yang sama syarikat kami menerima jemputan itu.

“Seperti yang disahkan oleh YB Nur Jazlan, Pengerusi PAC, tarikh bagi penampilan ini sedang dimuktamadkan, kerana tarikh yang dicadangkan sebelum ini bercanggah dengan komitmen luar negara yang dijadualkan sebelum ini.

“"Kami sekali lagi mengulangi hasrat kami untuk memberi kerjasama penuh kami kepada PAC dan saya serta Datuk Shahrol Halmi akan hadir di hadapan jawatankuasa itu untuk menjelaskan kedudukan 1MDB," kata Arul Kanda dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Arul Kanda dan Shahrol telah memberi jaminan bahawa mereka akan hadir ke perjumpaan PAC.

Semalam, PAC menangguhkan sesi pejumpaan dengan Arul Kanda dan Shahrol kerana kedua-dua mereka berada di luar negara.

Nur Jazlan Mohamed berkata penangguhan itu tidak bermakna bahawa prosiding siasatan ke atas 1MDB akan ditangguhkan.