JOHOR BAHRU: Inisiatif Bakul Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu golongan miskin tegar di seluruh negara dijangka bermula awal Ramadan ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pemberian tersebut akan melibatkan seramai 18,000 daripada 37,000 isi rumah miskin tegar dari seluruh negara, yang akan menerima bakul rahmah berisi barangan keperluan asas bernilai RM100.

"Fasa pertama sebenarnya kita sasar separuh daripada 130,000 isi rumah miskin tegar sepanjang tahun. Dengan peruntukan yang ada kini, kita beri 18,000 bakul rahmah dulu.

"Ini bukan untuk B40 tapi untuk yang lebih bawah daripada itu iaitu golongan miskin tegar di mana antara kriterianya adalah pesakit kronik, salah seorang suami atau isteri terpaksa berhenti kerja kerana menjaga anak yang sakit, terpaksa menjaga sanak saudara anak yatim, itu semua kita ambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Johor di Dewan Raya Taman Bukit Indah, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai pakej Pakaian Raya Rahmah, ia akan dimaklumkan kemudian setelah sesi libat urus bersama industri tekstil selesai minggu hadapan, kata Salahuddin.

"Insya-Allah kita akan umumkan Pakej Pakaian Raya Rahmah yang akan ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.

"Semalam telah diumumkan RM100 juta untuk menjayakan inisiatif Payung Rahmah jadi saya akan melihat butiran kepada RM100 juta itu dengan cepat. Pembentangan belanjawan seterusnya bulan Oktober, jadi kena cepat, kalau boleh sampai kepada semua golongan sasar," katanya.

-- BERNAMA