ALOR GAJAH: Sebanyak 15 rumah rosak di Tanjung Bidara di sini, selepas dipukul ribut dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah Lt (PA) Mohd Ridhwan Latip berkata ribut yang melanda di dua kampung di kawasan berkenaan membabitkan Kampung Balik Batu dan Kampung Pasir Gembur.

"Di Kampung Balik Batu, 16 mangsa daripada lapan keluarga terjejas manakala Kampung Pasir Gembur membabitkan tiga mangsa daripada satu keluarga.

"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan lapan anggota APM dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu pembersihan rumah," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Roslan Daut, 68, berkata ribut berlaku tidak sampai lima minit, namun kesannya amat dahsyat apabila banyak bumbung rumah tercabut dipukul angin kencang.

"Kejadian berlaku dalam seminit dua, sekelip mata sahaja dan bunyi angin sangat menakutkan seolah-olah bunyi enjin kapal terbang.

"Bumbung berserta lampu dan tiang diterbangkan macam kertas ditiup angin setinggi hampir dua batang pokok kelapa ... memang menakutkan melihat kejadian itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata ketika kejadian, dia sedang mengangkat kain di jemuran sebelum melihat bumbung rumah adiknya, Ab Rahman, 63, yang terletak di bawah bukit di depan rumahnya, diterbangkan ribut.

"Saya nampak bumbung itu terbang terus jatuh di depan rumah saya, sangat tinggi dan berpusing-pusing.

"Semua bumbung terbang macam kertas termasuk bumbung rumah saya dan difahamkan kira-kira tujuh rumah di kampung ini mengalami kerosakan bumbung akibat fenomena itu," katanya.

-- BERNAMA