BUTTERWORTH: Sekumpulan 14 lelaki termasuk tiga remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh dengan senjata sehingga mencederakan seorang lelaki di Butterworth, Jumaat lepas.

Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 15 hingga 51 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa secara bersama telah mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun dengan menggunakan parang dan kayu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka masing-masing secara berasingan didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang di tempat awam tanpa kebenaran sah.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di Lorong Bunga Raya 2, Taman Bunga Raya, Seberang Perai Utara, kira -kira jam 7.15 malam, 3 Mei lepas.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan  denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat sekiranya didapati bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail, serta Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong dan Mohd Azhar Hamzah, manakala enam tertuduh diwakili peguam Rafael Abdullah, sementara yang lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM20,000 hingga RM28,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, syarat tambahan turut dikenakan iaitu semua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 dan  15 hari bulan setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dengan apa cara sekalipun hingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 10 Jun depan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula mereka  turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan  menganggotai 'Geng 24' iaitu sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 43  Akta Pertubuhan 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki warga  tempatan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian merusuh bersenjatakan parang di Jalan Raja Uda, Butterworth.

Siasatan pihak Polis mendapati punca kejadian adalah disebabkan pertengkaran dan provokasi sesama mereka.

Terdahulu tular video pendek berdurasi empat saat di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang merusuh dengan merosakkan sebuah kenderaan di hadapan sebuah premis di lokasi tersebut.