BATU PAHAT: Seramai 129,835 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 ditawarkan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi kemasukan sesi akademik 2021/2022 akan datang.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Husaini Omar berkata, ia melibatkan kemasukan ke Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi  Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 259,000 permohonan.

"Senarai mereka yang dapat tawaran dikeluarkan UPU Online dimana pelajar yang memohon boleh masuk (periksa). Mereka mendapat tawaran untuk semua IPTA, 20 universiti awam dan politeknik. Tawaran dikeluarkan hari ini, mana yang tidak dapat atau hendak merayu boleh merayu bermula 26 Julai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.

Pada Khamis, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan keputusan kemasukan pelajar terbabit boleh disemak secara dalam talian mulai 12 tengah hari ini.

Mereka yang ditawarkan, boleh membuat pengesahan setuju atau tidak menerima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak mulai Sabtu hingga 26 Julai di laman web IPTA dan ILKA terbabit.

Sementara itu, Husaini turut memaklumkan setakat ini 40 IPT digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Ia bagi membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung.