KOTA BHARU: Sebanyak 12 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand, Pasir Mas yang ditugaskan dalam Op Taring Wawasan Kelantan, dinaiki air sedalam antara 0.4 hingga 2.5 meter (m).

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dalam kenyataan berkata pos PGA terlibat adalah Pos PGA Terusan, Pak Teh Kana, Salleh Berek, Pak Atah, Sharifah, Kaloi dan Wakaf Zain.

Turut terjejas Pos PGA Pulau, Kubang Pak Hita, Mek Gombak dan Haiwan.

"Pos kawalan yang paling teruk terjejas adalah Pos Ibrahim Pencen yang dinaiki air sedalam 2.5 meter," katanya.

Beliau berkata tiga lagi pos kawalan yang dinaiki air adalah berdekatan Sekat Pintas Serongga, Sekat Pintas Bukit Lata dan Sekat Pintas Jejawi selain Balai Polis Rantau Panjang yang turut dinaiki air sedalam 0.3 meter.

"Meskipun kesemua pos kawalan tersebut sudah dinaiki air namun operasi tetap berjalan seperti biasa," kata Muhammad Zaki.

-- BERNAMA