IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan hari ini memaklumkan sebanyak 12 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata jumlah itu termasuk empat kes strok haba dengan satu kematian, serta lapan kes kelesuan haba direkodkan sepanjang tempoh itu.

"Antara daerah yang terlibat dengan keadaan cuaca panas ialah Kinta, Batang Padang, Hulu Perak dan Larut, Matang dan Selama.

"Seorang anggota polis Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba semasa aktiviti merentas desa pada 30 Mei," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata punca kejadian strok haba dan kelesuan haba disebabkan aktiviti fizikal di luar bangunan, kerana pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kematian.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata lapan kematian dilaporkan akibat demam denggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding hanya satu kematian direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes denggi sehingga Minggu Epidemiologi ke-30 (ME30) tahun ini mencatatkan 5,058 kes berbanding 1,975, bagi tempoh sama tahun lepas.

Sivanesan berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 156.1 peratus atau 3,083 kes.

"Antara daerah yang mempunyai kes denggi paling tinggi ialah daerah Kinta, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Hulu Perak serta Manjung," katanya.

-- BERNAMA