Peluang yang hadir menerusi program ISS Contact 2024 yang diadakan di Planetarium Negara itu pastinya memberikan pengalaman istimewa buat kesemua mereka yang terdiri daripada murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor berkata menerusi program itu, murid diberikan peluang bertanya soalan dan berbual dengan Sunita yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa menerusi Stesen Radio Amatur.
"Kita telah berkomunikasi secara langsung selama sembilan hingga 10 minit dengan ISS yang berada di antara 300 hingga 435 kilometer (km) dari permukaan bumi yang berkelajuan 26,700km sejam. Saya harap semoga inisiatif ini menjadi inspirasi kepada mereka untuk minat bidang angkasa," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Program ISS Contact 2024 merupakan program tahunan dan diadakan sempena sambutan Minggu Angkasa Sedunia ke-24 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bermula 4 hingga 10 Okt.
Bertemakan 'angkasa dan perubahan iklim', program tersebut menyokong inisiatif pengukuhan pembudayaan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) iaitu memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi untuk transformasi sosioekonomi dan pertumbuhan inklusif.
Dalam pada itu, Mohd Zamri Shah berkata murid juga diberi peluang mendalami bidang teknologi radio yang digunakan di Stesen Radio Amatur untuk mengkaji perubahan iklim dunia.
"Kami (Planetarium Negara) berharap program seperti ini dapat menggalakkan murid menceburi bidang teknologi radio selain dapat memahami ilmu sains angkasa dan perubahan iklim di masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA