KUANTAN: Sebanyak 10 kampung di kawasan rendah dalam daerah Jerantut diramalkan banjir bermula hari ini hingga Rabu, demikian menurut kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dimuat naik di laman Facebook.

JPS memaklumkan kawasan terbabit ialah Kampung Kuala Retang, Kampung Sepial, Kampung Tanjung Bungor, Kampun Kuala Tembeling, Kampung Bantal Seberang, Kampung Batu Balak, Kampung Keluang, Kampung Sungai Yap, Kampung Pasir Durian dan Kampung Doja.

"Kawasan-Kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Sungai Pahang di Jerantut (diramalkan mengalami banjir).

"Ia susulan ramalan aras sungai Water Level Trend Forecast hari ini, jam 4 pagi serta status aras air sungai yang diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya," menurut kenyataan itu.

Justeru, JPS menasihati semua penduduk khususnya di kawasan terbabit untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

-- BERNAMA