KOTA BHARU: Sejumlah 1,800 naskah al-Quran akan diagihkan kepada lebih 10 hotel di seluruh Kelantan untuk kemudahan, galakan serta keperluan umat Islam yang menginap di hotel sekitar negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, hotel tersebut menerima antara 30 hingga 50 naskah al-Quran yang akan ditempatkan di setiap bilik penginapan.

"Dengan adanya al-Quran ini, ia dapat  dimanfaatkan dan memberi kemudahan serta kefahaman kepada pengunjung kerana ia lengkap dengan terjemahan dalam bahasa mereka," katanya di Majlis Penyerahan Al Quran kepada Premis Penginapan dan Pelancongan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Penyerahan meliputi pelbagai saiz al-Quran dengan terjemahannya dalam beberapa bahasa termasuk Bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris.

Katanya, ia juga sebagai langkah menjaga kesucian kitab suci al-Quran disamping dapat memberi kemudahan untuk kegunaan pelancong yang menginap di hotel.

Tambahnya, selepas ini, sumbangan akan turut diagihkan juga kepada pengusaha inap desa atau homestay di seluruh Kelantan.

Al Quran berkenaan disumbangkan oleh wakil Kedutaan Arab Saudi, Abdul Rahman Ibrahim Al-Robian yang
menyerahkan sejumlah 1,500 naskhah al-Quran tersebut.

Manakala 300 naskah lagi adalah pemberian daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan.