Festival Jazz Belia Sedunia (WYJF) 2017 siap sedia untuk memukau pelancong dan penduduk bandaraya bila memulakan persembahan Jumaat ini di TREC Kuala Lumpur, di sini.

Dengan tema "Be Youthful", festival tiga hari itu sehingga Ahad, bermula dari 6 petang hingga 12.00 tengah malam dibuka percuma kepada orang ramai dari semua peringkat umur.

Menurut pengasas WYJF, Datuk Nik A. Azmi, lebih 15,000 pengunjung tempatan dan luar negara berpeluang menikmati persembahan edisi keenam festival itu.

"Pemain piano jazz tersohor dunia Boy Katinding dan kumpulannya ''Jazz Collective'' dari Filipina, Jazz Cabo Cuba dari Netherlands dan sifu keyboard dan penulis lirik Emiko C dari Amerika Syarikat adalah antara mereka yang akan mengetengahkan persembahan.

"Pelbagai program dan bengkel dianjurkan di lokasi terpilih membawa kepada acara utama hujung minggu ini yang akan menyaksikan 15 aksi berbeza antarabangsa dan tempatan dari sembilan negara," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu diusahakan demi memperluas lingkaran jazz di kalangan generasi muda terutama pencinta muzik menerusi program segar dan mempesona.

Pengurusan WYJF, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan TREC adalah antara organisasi yang menyokong festival itu tahun ini.

-- BERNAMA