Konsert Wings 'Versi Tanpa Distortion' yang berlangsung pada Ahad menyaksikan kumpulan rock lagenda itu turut menyanyikan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan rock 'otai' negara seperti Lefthanded, Blues Gang dan Kembara.

Wings berjaya 'memanaskan' penonton dengan segmen tribute berkenaan dengan membawakan semula lagu Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded), Ibu (Blues Gang) dan Hati Emas (Kembara) dengan baik pada permulaan konsert.

Segmen itu merupakan salah satu persembahan terbaik Wings di konsertnya yang diadakan di Dewan Plenari, PICC Putrajaya dan antara yang paling banyak menerima tepukan gemuruh penonton.

Klik untuk galeri gambar konsert Wings 'Versi Tanpa Distortion'

Sepanjang konsert semalam, penyanyi utamanya, Awie sememangnya tidak menghampakan peminat dengan lontaran vokalnya yang mantap disamping iringan gitar terbaik dari Joe selaku gitar utama.

wings
Memilih PICC sebagai lokasi konsert adalah pilihan yang tepat buat Wings


Konsert yang berkonsepkan retrospektif akustika ini berlangsung selama dua jam dan seramai 3,000 orang penonton memenuhi dewan.

Memilih PICC sebagai lokasi konsert kali ini adalah dilihat sebagai satu pilihan yang tepat buat Wings kerana pencahayaan dan audio yang baik sepanjang konsert telah berjaya memukau penonton.

awie
Lontaran vokal Awie sememangnya mantap disepanjang konsert berlangsung


Menurut Awie, konsert kali ini merupakan konsert berskala besar pertama bagi kumpulan yang sudah bertapak hampir 28 tahun di dalam arena rock Malaysia.

Awie juga tidak melepaskan peluang menyatakan rasa kesalnya dengan aktiviti cetak rompak yang sebelum ini terjadi ke atas album terbaru mereka 'Menakluk Kosmos' dan mengucapkan terima kasih di atas kehadiran peminat.

Wings turut mendendangkan lagu-lagu dari album terbarunya seperti Ingatkan Dia dan Peti Pandoramu.

Ingatkan Dia, antara lagu terbaru Wings


Dari segi pemilihan lagu, beberapa peminat menyatakan kekecewaannya apabila lagu-lagu ‘berhantu’ Wings seperti Sejati, Taman Rashidah Utama dan Rantai hanya dimainkan di akhir konsert.

Selain Awie dan Joe, Wings juga dibarisi oleh ahli kumpulan yang tidak asing lagi iaitu Eddie (bass) dan Black (dram), serta dibantu oleh beberapa orang pemuzik profesional iaitu Lee Sze Wan (piano), Hillary Ang (gitar), Edrie Hashim (gitar), Mozihan Tukimon (gitar) dan Izat (perkusi).

Konsert Wings ini turut dihadiri oleh Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat.

Ikuti apa kata penonton mengenai konsert Wings kali ini.