PENYANYI Datuk Awie menganggap bayaran rendah dan tidak setimpal yang diberikan pihak produksi kepada artis veteran merupakan satu penghinaan.


Bayaran Perlu Sepadan Dengan Pengalaman

Menurut Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, bayaran yang ditawarkan oleh pihak produksi perlulah sepadan dengan pengalaman mereka sebagai artis senior.


“Kita perlu ada sedikit rasa hormat kepada artis yang lebih senior. Jadi, berilah jumlah wang yang selayaknya kerana merekalah artis yang mana ibu dan bapa kita pernah minat suatu ketika dahulu.

“Saya sedih dengan perbuatan itu (artis veteran dibayar sikit), bagi saya ia biadab dan satu penghinaan kepada mereka.

“Apalah salahnya kita hormat orang lebih dewasa daripada kita. Bayarlah lebih, tak apa, kita anggap ia satu sedekah atau amal ibadah,” katanya kepada Gempak.

Awie di majlis tayangan perdana dan sidang media filem Rebel, di GSC Cinema The Starling Mall, Petaling Jaya baru-baru.


Ukur Kadar Bayaran

Vokalis kumpulan Wings itu juga mencadangkan agar ukuran kadar bayaran yang diberikan produksi haruslah selari dengan portfolio seseorang artis.

“Kita tengok juga, artis itu veteran yang bagaimana. Jika dia pernah jadi popular pada zamannya dan menjadi watak utama, tentu sahaja dia ada nilai dan harga yang tertentu.

“Namun, jika selama ini hanya jadi watak pembantu sahaja, sudah tentu jumlahnya turut berbeza,” tambahnya.


Kenang Perjuangan Artis Senior

Pengarah filem Rebel itu juga mengajak penggiat seni untuk mengenang kembali perjuangan para artis senior suatu ketika dahulu.

“Orang lama sudah tebas semua lalang, agar kita orang baru boleh lalu.Ketika itu mereka hidup di zaman analog, tiada kamera canggih dan sangat sukar.

“Mereka bukan mahu naikkan nama mereka sahaja, tetapi juga nama industri.

"Contohnya seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menang pelbagai anugerah sehingga di Jepun. Maka, jangan semudah itu kita lupakan mereka,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah klip video temu ramah pelakon dan pelawak veteran, Azlee yang kecewa menerima tawaran lakonan dengan bayaran RM500 sehari.

Video yang meraih lima juta tontonan itu bagaimanapun telah mengundang perbincangan hangat dalam kalangan warganet sehingga ada yang menganggap artis veteran tidak wajar membuat permintaan bayaran yang tinggi. -Amanz