Menerusi hantaran di TikTok, Shuib berkongsi momen ketika dia dan arwah bersama-sama menjejakkan kaki di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah.
Antara momen yang dikongsikan di video tersebut memperlihatkan pasangan itu sedang berjalan di dalam Masjidil Haram sambil berbual.
Pada ruangan kapsyen, bapa kepada empat cahaya mata ini mengucapkan salam Aidiladha buat arwah isteri tercinta.
"Salam AidilAdha, Siti Sarah Binti Raisudin. Al-Fatihah,” katanya.
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warga maya turut meluahkan rasa rindu terhadap penyanyi lagu Kesetiaan itu.
Dalam pada itu, warganet turut menitipkan doa dan membacakan surah Al-Fatihah kepada Siti Sarah.
“Sarah satu-satunya artis yang meninggal dunia aku nangis sampai ke hari ni. Amalan apa dia buat sampai ramai yang sayangkan dia.
“Kebaikan apa la arwah. Sampai hari ini tiap kali tengok balik arwah, air mata laju saja. Syurga terindahlah untuk mu orang baik.
“Sarah. Kami rindu awak. Hari-hari saya akan stalk IG Sarah. Nak tengok posting lama dia. Al-Fatihah buat bidadari syurga Siti Sarah Raissuddin,” antara komen warga maya.
Imbas kembali, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19 ketika sedang hamil anak bongsunya Ayash Affan.
Shuib mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah pada 2011.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, 3.
Shuib kemudian mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Watie Hanifiah pada 23 Jun 2023. - Gempak