SAMA seperti Malaysia, industri hiburan di Korea juga tidak terlepas daripada kontroversi dan momen terbaik yang pernah menjadi bualan hangat di media sosial sepanjang tahun 2018.

Antaranya perkahwinan, penceraian, kemalangan dan juga kematian.

Sebelum 2019 mengucapkan ‘salam perkenalan’, apa kata kita imbas kembali kisah pahit dan manis tahun 2018.

1.Kad Undangan Unik Dan Perkahwinan Taeyang, Hyorin



Foto eksklusif kad undangan perkahwinan anggota kumpulan K-pop terkenal BIGBANG, Taeyang dan aktres Min Hyorin mendapat perhatian peminat seluruh dunia.

Foto itu menunjukkan sebuah kad berwarna putih dan dihiasi dengan sejambak bunga mini di bahagian hadapan kad berkenaan.

Manakala pada bahagian belakang kad tersebut pula menampilkan tulisan berwarna emas dengan ayat yang dipetik daripada kitab Bible.

Kad undangan pasangan ini mendapat pujian daripada peminat kerana rekaan yang ringkas tetapi kreatif dan penuh makna.

Pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri dalam satu majlis tertutup pada 3 Januari lalu.

Majlis berlangsung di sebuah gereja di wilayah Gyeonggi, Seoul dan dihadiri keluarga, rakan rapat serta rakan sekerja pasangan tersebut.

Hashtag #DopeWeddingCongratz menjadi trending selepas beberapa jam berita tersebut dihebahkan.



2.Identiti Misteri Isteri Gary Dan Komen Tentang Running Man



Identiti isteri kepada bekas anggota Running Man, Kang Gary menjadi perhatian selepas usia wanita itu didedahkan sebuah portal.

Isteri Gary yang dikenali sebagai Kim itu dikatakan muda 10 tahun daripadanya dan merupakan pekerja di syarikat milik Gary dan pasangan duonya, Gil, Leesang.

Tiada sesiapa pun dapat menghidu hubungan cinta mereka termasuk Gil dan rakan sekerja lain.

Gary melangsungkan perkahwinannya bersama Kim secara rahsia tanpa sebarang majlis.

Awal Januari lalu, buat pertama kalinya Gary meluahkan isi hati selepas mengambil keputusan meninggalkan program berkenaan.

Gary juga akui berasa lega selepas Running Man berjaya mencari pengganti baru.



3.Sesi Bertemu Peminat WANNA ONE Hampir Jadi Rusuhan



Buat pertama kalinya, sesi bertemu peminat yang diadakan di Malaysia terpaksa ditangguhkan lebih satu jam selepas keadaan bertukar menjadi tegang.

Keadaan itu berlaku apabila peminat kumpulan K-Pop terkenal, WANNA ONE melakukan adegan tolak-menolak menyebabkan ada beberapa penonton cedera dan pengsan.

Bagaimanapun keadaan pononton yang pengsan itu diselamatkan oleh dua anggota WANNA ONE, Sungwoon dan Daehwi yang bertindak pantas meminta pasukan keselamatan membantu peminat tersebut.



4.Perubahan Wajah Selepas Berkahwin Dan Latihan Khidmat Ketenteraan



Wajah terbaru pelakon Korea terkenal, Lee Min Ho yang sedang menjalani latihan khidmat ketenteraan kelihatan sihat dan sedikit berisi.

Perubahan Min Ho itu ternyata mengejut para peminatnya yang tidak menyangka fizikal aktor kesayangan mereka itu berubah dengan cepat.

Min Ho bakal menamatkan khidmat ketenteraannya pada May 2019.

Bukan sahaja Min Ho, perubahan fizikal G-DRAGON atau nama sebenarnya Kwon Ji Yong juga menjadi bualan hangat di media sosial.

Bagaimanapun peminat meluahkan rasa lega apabila melihat idola kesayangan mereka sedikit berisi kerana sebelum ini kelihatan terlalu kurus ekoran terlalu sibuk dengan aktiviti seni selain mengadakan konsert.

G-DRAGON bakal menamatkan khidmat ketenteraannya pada 26 November 2019.

Lain pula ceritanya dengan isteri penyanyi popular Rain, Kim Tae Hee yang membuat penampilan pertamanya awal April lalu selepas mendirikan berkahwin.

Rata-ratanya terpegun melihat bentuk badan dan juga kecantikan wajah Tae Hee walaupun selepas bergelar ibu kepada seroang anak perempuan.



5.Kematian Mengejut Akibat Kemalangan Dan Depresi



Ibu kepada bekas pemain bola sepak Manchester United, Park Ji sung meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

ibunya, Jang Myung Ja menghembuskan nafas terakhir selepas dikejarkan ke hospital. Kemalangan maut yang melibatkan ibu Ji Sung itu berlaku di United Kingdom.

Berita mengejut apabila adik kepada aktres Ha Ji Won, Jeon Tae Soo dilaporkan meninggal dunia akibat depresi.

Jeon Tae Soo yang meninggal dunia pada 21 Januari di usia 34 tahun sudah lama menderita penyakit kemurungan dan sedang menjalani rawatan pemulihan.

Difahamkan kondisinya semakin baik selepas mendapatkan rawatan dan dia juga merancang untuk membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan.

Selain Tae Soo, ketua kumpulan 100%, Minwoo, 33, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut.

Menurut agensinya TOP Media, Minwoo ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di rumahnya pada 25 Mac lalu.

Selain putus cinta, berita rakan baiknya terlibat dalam kemalangan juga menambahkan tekanan buat bekas anggota kumpulan The Grace, Dana menyebabkan dia beralih kepada makanan.

Dana menjelaskan berat badannya naik disebabkan berasa tertekan dengan situasi yang menimpa dirinya.



6.Perceraian


Bekas anggota kumpulan U-KISS, Dongho berkahwin pada tahun 2015 dan dikurniakan anak pada Jun tahun yang sama.

Namun jodoh mereka tidak lama apabila Dongho dan bekas isterinya dilaporkan bercerai pada 20 September lalu disebabkan tidak sefahaman.

Bekas isterinya meluahkan rasa kecewa apabila ada segelintir netizen yang memberikan komen yang melibatkan anaknya berikutan kes penceraian mereka.

Awal Januari lalu, pelawak dan juga hos program popular 2 Days 1 Night, Kim Joon Ho mengesahkan penceraiannya bersama isteri, Kim Eung Young akibat tiada persefaham selepas 12 tahun bersama.

Bagaimanapun pasangan ini berpisah dengan cara yang baik.

Bagitu juga dengan pelakon yang dikenali menerusi drama Korea popular Jewel in the Palace, Park Eun Hye mengesahkan telah bercerai dengan suaminya selepas 10 tahun berkahwin.

Bagaimanapun, hak penjagaan anak-anak diberikan kepada Eun Hye.

Eun Hye telah berkahwin dengan suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan pada 27 April 2008.



7.Percintaan antara Lee Min Ho, Suzy Dan Lee Dong Wook



Nama Suzy mendapat perhatian awal sekitar Februari lalu berikutan dakwaan kembali bercinta bersama bekas kekasihnya pelakon Lee Min Ho selepas mengambil keputusan untuk berpisah November tahun lalu.

Namun nama Suzy kembali hangat selepas berita mengenai percintaan bersama aktor terkenal Korea, Lee Dong Wook didedahkan sekitar Mac tahun ini.

Ternyata berita mengejutkan itu telah mengundang pelbagai reaksi peminat yang rata-ratanya menyatakan rasa terkejut kerana Suzy baru sahaja berpisah dengan aktor terkenal, Lee Min Ho atas alasan ingin memberikan fokus pada kerjaya.

Mereka juga menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perkara itu dan melabelkan Suzy sebagai ‘Taylor Swift’ Korea.

Bagaimanapun hubungan cinta mereka hanya bertahan selama empat bulan dan pasangan mengesahkan telah berpisah secara rasmi.

Syarikat pengurusan Suzy, JYP Entertainment mengesahkan kedua-dua pelakon ini telah menamatkan hubungan percintaan mereka pada 2 Julai.

Disebabkan mereka berdua mempunyai jadual yang sibuk, sukar bagi mereka untuk bertemu dan akhirnya mengambil keputusan untuk mengikut haluan masing masing.