Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati pusara arwah masih dikunjungi orang ramai dan peminat yang bersedekah al-Fatihah dan bacaan Yasin.
Rumah arwah turut dipenuhi tetamu yang melawat isteri arwah, Siti Nurhidayah Md Ali, 28 dan ibu arwah, Sabariah Arshad, 63.
Tiada yang menyangka, di sebalik pemergian Abam merungkai perkongsiannya yang tidak berkira bersedekah kepada anak yatim dan membantu mereka yang memerlukan selain sangat mengutamakan keluarga.
Adik arwah, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, atau Ali Puteh berbangga dengan abangnya yang disayangi semua orang tanpa mengira golongan.
Katanya, arwah menjadi inspirasi buatnya sekeluarga dan rakyat Malaysia untuk mencontohi kebaikannya.
"Yang mudah untuk orang suka arwah kerana dia comel, tak banyak cakap dan orang senang berbual dengan dia.
"Walaupun baru jumpa dia setengah jam tapi mereka sudah rasa seperti berkawan lebih sepuluh tahun," katanya.
Menurut Ali dia tidak pernah cemburu dengan kejayaan Abam dan dua lagi ahli Bocey iaitu Achey dan Fad walaupun dia antara orang terawal yang mendorong abangnya menceburi industri seni.
"Kejayaan Abam Itulah rezeki buat keluarga kami. Dia banyak selesaikan komitmen yang perlu," katanya.
Arwah Abam buang sikap malu
Ali turut berkongsi pengorbanan Abam terhadap keluarganya terlalu besar apabila sanggup membuang sikap malu di atas pentas demi mencari rezeki.
"Saya lihat dia ada aura apabila memberi 'punchline'. Penonton ketawa. Saya bawa dia dalam industri kerana kami hidup susah dan saya ajak dia mencuba nasib masuk pertandingan lawak.
"Dia kata tak nak dia malu.. berniaga pun tak apa. Tapi sebab nak ubah nasib keluarga dia buang rasa malu dan banyak mendapat tunjuk ajar dari sifu, Datuk Afdlin Shauki yang membuka ruang kepadanya untuk lebih berjaya," katanya.
Ali berkata pada asalnya kumpulannya berempat iaitu arwah, Achey, Fad dan dirinya namun syarat menyertai satu pertandingan yang mengehadkan kepada tiga peserta satu kumpulan menyebabkan dia mengalah.
"Dia tanya saya macam mana? Saya jawab tak apa, niat kita masuk industri demi keluarga dan Alhamdulillah Bocey ketika itu semakin dikenali sehingga ke tahap ini.
"Ketika saat itu, saya masih bersama dia, kami dah 'declare', kami dengan Achey dan Fad bukan sahaja kawan tapi adalah adik-beradik sejati, kami saling bantu membantu.
"Apabila tiba giliran saya pula diberi peluang bergabung dengan Mamak, di situlah kami mula berkumpul semula, walaupun lain kumpulan tapi sentiasa 'brainstorm' bersama," katanya.
Abam sentiasa bersyukur
Mulanya arwah Abam tak kisah dengan keadaan fizikalnya, namun lama-kelamaan apabila isu gemuk jadi bualan dia ada percubaan nak kurangkan berat badan lepas melangkah jauh dalam insustri," kata Ali.Katanya, keutamaan arwah mengurangkan berat badan bukan untuk menutup kritikan orang luar sebaliknya untuk membina keluarga mendapatkan zuriat.
"Sebenarnya dia kurus bukan sebab orang jelik dengan dia gemuk tapi sebab dia nak kahwin, sebab dia tahu kalau orang gemuk susah nak dapat anak.
"Tapi walaupun badan dia besar, ALLAh SWT kurniakan dia cahayamata, dari situ arwah kata dia bukan biasa-biasa tapi luar biasa dan boleh mempunyai ada anak," katanya.
Ali turut menasihatkan kepadanya agar tidak mengambil hati dengan cakap orang sebaliknya cukup jika dia mementingkan kesihatan dan menjaga berat badan.
"Sampai saya kata, kalau dia kurus orang dah tak nak dia, orang minat dia kerana kecomelan dia, cukuplah dia jaga kesihatan dan kekalkan berat badan.
"Dia tak pandai marah, sifatnya pendiam.. sifat semulajadi arwah tak ada nak berdendam, bergaduh atau bermusuh dengan orang," katanya.
Tiada lagi Abam jual mi kejung
Tiada lagi kelibat Abam yang akan berniaga di bazar Ramadan bersama mi kejung selepas ini.
Menurut Ali, sebelum Abam popular mereka sekeluarga berniaga di bazar Ramadan setiap tahun.
Katanya, sejak kematian bapanya pada tahun 2009 mereka tidak bekerja dan hanya berniaga di beberapa bazar tetapi Abam berniaga di Gombak kerana mahu membantu adik mereka.
"Arwah sanggup kurangkan aktiviti dan program Ramadan untuk membantu adik kami berniaga selain memberikan modal," katanya.