Berita itu dimaklumkan pengajur di akaun Twitter rasmi mereka kurang dua jam sebelum persembahan pada Sabtu bermula.
"Persembahan pada malam ini dibatalkan selepas Daniel Craig didapati positif COVID-19 petang tadi.
"Kami memohon maaf atas kesulitan ini namun keselamatan penonton, pelakon dan kru kami menjadi keutamaan.
"Kami akan membayar semula kos semua tiket yang dibeli bagi semua persembahan yang dibatalkan," kata kenyataan itu.
Persembahan Broadway Macbeth di Theater Longacre, diarahkan oleh Sam Gold, yang juga mengarahkan Craig dalam Othello off-Broadway, dengan penampilan muzik asal oleh Gaelynn Lea.
Persembahan drama ini sangat terhad iaitu hanya 15 minggu, bermula dengan persembahan pratonton pada 29 Mac dan pembukaan rasmi kepada orang ramai pada 28 April, berlangsung hingga 10 Julai.
Macbeth adalah peranan pertama Craig sejak menamatkan zamannya sebagai Bond, yang telah dilakonkannya dalam lima filem selama 14 tahun.
Dalam dokumentari di Apple TV+, Craig memberikan ucapan memperingati penghujung zamannya dalam francais itu.