Pelakon Luqman Hafidz yang dikenali menerusi watak Ali dalam filem box office, Ola Bola, mengakui tidak pernah merasa terbeban atau tertekan apabila sehingga kini masih diingati melalui watak tersebut.

Biarpun watak ikonik itu dianggap ramai seolah-olah menyekat perkembangan kariernya, namun Luqman tidak merasakan ia benar.

Sebaliknya, Luqman mengakui dia tidak sanggup melihat pelakon lain melakonkan watak berkenaan, dan ia menjadi penyebab mengapa dia memberanikan diri untuk hadir ke uji bakat Ola Bola The Musical, biarpun tidak mempunyai pengalaman.

"Saya tidak rasa tertekan dan saya tidak rasa saya perlu keluarkan diri dari watak Ali itu. Pada pendapat saya, ia satu penghargaan dan satu petanda yang peminat mengingati lakonan saya.

"InsyaAllah, kalau ada rezeki saya lagi dalam bidang lakonan di masa hadapan, mungkin ada watak lain pula yang akan diingati peminat. Tapi buat masa sekarang, saya hargai dan nikmati tempoh saya sebagai Ali," katanya.

BACA: 'Ola Bola The Musical' bakal papar teknologi canggih pementasan teater

Lim Jian Wen, yang membawakan watak Ah Chai, turut berkongsi pendapat yang sama apabila mengakui keberaniannya hadir ke sesi uji bakat adalah bertitik tolak daripada keinginannya untuk terus menjadi sebahagian daripada 'sejarah' jenama Ola Bola.

"Kami sebahagian daripada yang memulakan sejarah itu, jadi kami sangat berbangga apabila dipilih untuk meneruskannya," kata Jian Wen.

Mereka ditemui pada majlis memperkenalkan 40 pelakon yang terpilih untuk menjayakan pementasan teater tersebut.


Selain Luqman dan Jian Wen, muzikal itu turut diterajui Brian Chan sebagai Tauke, Abimanyu Masilamani sebagai Muthu, Iedil Putra sebagai Rahman, Kai Chalmers sebagai Eric, Melissa Ong sebagai Mei Ling dan rapper Altimet sebagai Sarjan Ahmad.

Turut diperkenalkan dalam majlis itu ialah adalah rakan penaja, CIMB Bank, manakala Astro sebagai rakan media rasmi.

Ola Bola The Musical bakal dipersembahkan di Istana Budaya dari 8 Februari hingga 11 Mac 2018.