Norman Hakim tidak akan menghalang anak-anaknya untuk cuba mengikuti jejak langkah ayahnya dalam menceburi dunia seni dan hiburan, asalkan mereka telah menguasai hafazan al-Quran sepenuhnya.

Artis berumur 42 tahun itu berkata demikian sewaktu menghadiri program Selangor #QuranHour di Masjid Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada Jumaat.




"Tak salah untuk pilih bidang apa sahaja mereka ceburi selepas mereka dah menguasai al-Quran.

"Kalau mereka nak masuk dalam bidang seni pun mereka kena tahu niat dan perjuangan mereka dalam dunia seni," katanya selepas selesai sesi bergambar.

Norman selaku duta Rumah Ngaji itu juga sempat kongsikan perkembangan semasa anaknya yang kini sedang diberi pendedahan ilmu agama.

"Alhamdulillah anak pertama saya sedang belajar dalam diploma pengajian hafazan al-Quran di Turki dan anak kedua saya sedang diberi pendedahan dalam kelas tahfiz," ujarnya.

Anaknya Mohamed Danish Hakim, 15 tahun merupakan antara 10 pelajar terpilih melanjutkan pengajian hafazan di sebuah institusi pengajian Islam, Mekke Kuran Kursu di Isparta, Turki.


Menurutnya, kini dia sedang terlibat dalam penggambaran siri kepolisan dan drama bersiri di samping menjadi duta untuk beberapa produk kesihatan.

Norman turut berkata kini rutin hidup bersama keluarganya lebih teratur.