PENYANYI Tajul mengakui dirinya kini sudah mempunyai kekasih dengan wanita yang dikenali sebagai Nurul Syamieza Eddie.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari, 20, berkata, dia sudah mengenali kekasihnya itu sejak sekolah rendah lagi namun masih tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.

"Saya akui sekarang ini sudah mempunyai kekasih tetapi dakwaan yang mengatakan kami sudah berkahwin adalah tidak benar.

"Buat masa sekarang saya masih tidak mempunyai rancangan untuk ke peringkat seterusnya kerana mahu memberi fokus pada kerjaya.


"Mungkin jika tiba waktu yang sesuai saya akan berkahwin memandangkan kekasih saya itu juga sedia untuk bergelar seorang isteri.

"Saya juga bersyukur kerana kekasih saya faham dengan tuntutan kerja yang harus saya lakukan dahulu sebelum berfikir mengenai hal perkahwinan," katanya kepada Astro Gempak.

Tajul berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program Big Stage, di Timbre @ The Row, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Program Big Stage merupakan sebuah pertandingan nyanyian terbaru berkonsepkan realiti yang menampilkan angkatan bakat muda yang kini popular dengan jolokan Budak Baru Nak Up (BBNU) dalam kalangan penggiat industri hiburan tempatan.


Selain Tajul, Big Stage turut disertai oleh Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Ariff Bahran, Syafiq Farhain, Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh Tik Tok ini akan mula ditayangkan mulai 5 Ogos 2018, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria(104) dan Ria HD (123).

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini! - Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi