Cucu Allahyarham Tan Sri SM Salim, Karl Azhar Zamri mengakui terpaksa menyanyi tanpa pengetahuan datuknya memandangkan seniman negara itu tidak menggalakkan anak dan cucu bergiat aktif dalam bidang nyanyian.

Selain menjaga hati datuk kesayangannya itu, Karl juga terpaksa berbuat demikian kerana datuknya tidak mahu ahli keluarga menghadapi cabaran dan kesusahan sebagai anak seni.

"Dia ada nasihat saya kerana saya banyak mewarisi (bakat nyanyian) dia. Dia nasihat saya supaya jangan ikut jejak dia. Dia tidak mahu anak dan cucu masuk bidang nyanyian. Jadi saya rahsiakan daripada dia sebab saya juga tidak mahu orang luar anggap saya tumpang populariti dia sebab saya takut dia akan ke sana sini untuk naikkan saya," katanya semasa ditemui di Masjid Kampung Baru di sini hari ini.

FOTO: Tan Sri SM Salim dalam kenangan (1928-2016)

BACA: Hilangnya suara emas irama Melayu klasik

BACA: SM Salim, ayahanda yang banyak beri nasihat dan contoh baik - Siti Nurhaliza

Karl Azhar bergiat dalam bidang nyanyian sejak beberapa tahun lalu dan akan menghasilkan lagu single pertamanya tahun depan.

Beliau juga mengakui rapat dengan Allahyarham sepanjang hayatnya.

"Saya dengan datuk memang rapat, kalau ada apa-apa memang dia akan hubungi saya sama ada nak beli makanan, ubat dan sebagainya. Itu rutin seharian saya. Saya sudah tahu apa dia nak makan minum," katanya lagi.


Menurutnya, Tan Sri SM Salim tidak mahu anak-anak dan cucunya terdedah dengan gosip-gosip liar jika mereka memilih kerjaya penyanyi sebagai karier.

"Dia kata kalau nak masuk sangat bidang muzik ini elakkan dari terjerumus dengan gosip-gosip liar," tambahnya.

Jenazah Seniman Tan Sri SM Salim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang selepas dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat.

Allahyarham Tan Sri SM Salim, 88, meninggal dunia di rumah anaknya di Ukay Perdana , Hulu Klang, kira-kira jam 5.40 petang Khamis.