SETELAH hampir 100 tahun Leo the Lion 'berkhidmat' sebagai maskot studio perfileman Metro-Goldwyn-Mayer (MGM), akhirnya ia digantikan dengan logo grafik komputer (CG).

Berita itu diumumkan studio perfileman tersebut menerusi satu muat naik video di laman penstriman YouTube pada Selasa.

Menurut MGM, keputusan itu dibuat sebagai langkah penjenamaan semula studio perfileman itu.

Jika sebelum ini MGM menggunakan Leo the Lion (haiwan sebenar) untuk setiap kali pembukaan bagi filem mereka sejak 1924, kali ini ia digantikan dengan versi CG dengan kemasan emas yang seakan digilap rapi.

Namun begitu, pihak studio perfileman itu masih menekankan ciri realistik haiwan tersebut dalam pengenalan logo baharu mereka.



“Sejak kemunculan teknologi CG, Hollywood mampu menggantikan visual sebarang jenis hidupan.

“Kita pernah melihat teknologi CG digunakan untuk mengimbas kembali babak di masa lampau seperti watak Kurt Russel dalam filem Guardians of the Galaxy Vol. 2 di waktu mudanya, atau watak Michael Douglas yang ‘kurang kedutan’ di wajahnya dalam filem Marvel Ant-Man and the Wasp.

“Ia juga secara teori mampu merealisasikan kesan visual yang serupa bagi memanjangkan hayat karier sebuah bintang filem yang secara semula jadinya mampu dimamah usia, malah mewujudkan kembali visual mereka yang sudah mati,” jelas jurucakap studio perfileman itu.

Ini bukan kali pertama studio perfileman MGM menjenamakan semula logonya.

Sejak 1957, sebanyak tujuh ekor singa telah memegang watak "Leo" dalam proses menjenamakan semula logo studio berkenaan.

Difahamkan, logo baharu ini akan membuat kemunculan sulung di sekuel filem "James Bond, No Time to Die".

Namun memandangkan tayangan filem perisikan itu ditangguhkan susulan pandemik COVID-19, logo baharu itu akan membuat penampilan sulung dalam filem "Dog", sebuah filem komedi yang dibintangi Channing Tatum yang akan ditayangkan pada Julai.