Hampir setahun selepas cabaran menarik ini mendapat perhatian umum, ternyata Ice Bucket Challenge mencapai tujuannya untuk memupuk kesedaran terhadap penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) selain menggalakkan sumbangan kepada penyelidikan.
Dianggarkan seramai 17 juta individu dari seluruh dunia turut menyertai cabaran yang memerlukan pesertanya disimbah dengan air sejuk di kepala.
Semasa Ice Bucket Challenge menjadi viral, Persatuan ALS memperoleh sumbangan sebanyak £73 juta (RM 436 juta) dari bulan Ogos hingga September sahaja.
Sebahagian besar sumbangan disalurkan kepada operasi penyelidikan selain membantu perbelanjaan pusat penjagaan dan sokongan.
Ice Bucket Challenge turut popular di kalangan personaliti terkenal di Malaysia. Foto - YouTube
Personaliti terkenal Malaysia seperti Khairy Jamaluddin, Lisa Surihani, Daphne Iking dan Amber Chia turut tidak melepaskan peluang menjadi sebahagian daripada cabaran dengan tujuan yang baik ini.
Menurut BBC, keseluruhan video cabaran Ice Bucket yang memenuhi media sosial ditonton lebih 440 juta individu di serata dunia.
Penyakit ALS berpunca dari nyahaktifan ejen neuron yang menyebabkan ketegangan otot secara beransur, sekaligus menjurus kepada kesukaran bercakap, menelan dan bernafas.
Ahli fizik terkenal Stephen Hawking dan bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, allahyarham Dato' Mokhtar Dahari turut didiagnos menghidap ALS.