“Saat pihak media bertanyakan pada saya tentang hal dia itu dan berkait pula dengan agama, jantung saya seperti terhenti sekejap. Saya macam hilang akal, saya hilang pertimbangan. Saya tersentak sekejap.

"Namun, saya tak menyesal muat naik status itu. Malah saya rasa bertanggungjawab terhadap status itu. Tapi selepas ini, saya minta media jangan lagi cari dan bertanya kepada saya tentang isu yang mengaitkan dia. Selepas ini saya tak mahu lagi memberi apa-apa komen yang mengaitkan kontroversi dia.

"Saya dah bosan. Setiap kali isu pasal dia, saya yang kena jawab. Selepas ini, kalau anda semua hendakkan penjelasan tentang apa jua isu yang mengaitkan dirinya, tanyalah tuan badan sendiri.

“Saya percaya dia sudah cukup dewasa dan dia perlu bertanggungjawab dengan apa saja yang dilakukan,” kata Amy Search kepada portal Malaysian Digest selepas ditanya mengenai komennya yang agak ‘kasar’ terhadap Nabila Huda di laman Instagram anaknya itu baru-baru ini.

Bagaimanapun Amy tenang ketika menjawab soalan daripada media ketika ditemui pada petang Rabu di Hotel The New Royale Chulan.

Dalam pada itu Amy memberitahu dia sudah lama tidak berjumpa dengan Abil apatah lagi berhubung menerusi telefon.

Sebelum ini kontroversi tercetus selepas penyanyi lagenda rock, Amy Search melemparkan kata-kata kesat ke dalam entri komen foto anaknya, Nabila Huda bersama kekasih ketika sedang bercuti di luar negara di laman sosial Instagram.

Nabila Huda



Lebih panas lagi apabila salah seorang seorang pengikut Nabila di Instagram telah menyarankan pelakon itu supaya menganut agama Kristian gara-gara gambar percutiannya.

Berang dengan hal tersebut, Amy telah memberikan komen pada salah satu foto yang dimuat naik anaknya itu.

Daripada komen tersebut jelas menggambarkan lagenda rock tanah air itu bertindak kerana terlalu marah dan melepaskan geram dek kerana sikap si anak yang seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab dengan kontroversi yang dicetuskannya sendiri.

Melihat status makian dengan satu perkataan kesat dan ia ditujukan kepada Abil, ramai yang tidak percaya bahawa status tu ditulis oleh Amy sendiri kerana selama ini dia seorang bapa yang sangat tenang meskipun acapkali diasak dengan pelbagai soalan berkaitan dengan Nabila. -- Astro Gempak