SELEPAS berjaya menawan 8,000 peminat dalam Konsert Panggung Khayalan di Kompleks Sukan Educity Nusajaya, Johor pada 24 Oktober tahun lalu, Search bakal muncul dengan konsert istimewa, 9 April ini.

Konsert tersebut sebagai meraikan sambutan 35 tahun penubuhan Search di persada seni tanah air, dan akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Vokalis Search, Amy, berkata konsert tersebut diadakan khas untuk menghargai peminat yang setia menyokong mereka selama lebih tiga dekad.

“Sudah pasti konsep persembahannya berbeza daripada konsert yang pernah kami jayakan sebelumnya. Proses untuk konsert ini juga agak istimewa kerana susunan lagu yang dinyanyikan juga berbeza daripada konsert sebelumnya.

“Kami akan tampilkan beberapa lagu yang jarang dinyanyikan. Proses pemilihan lagu yang sesuai masih berjalan dan kalau boleh ia akan menceritakan perjalanan Search selama 35 tahun dalam industri seni tanah air.

“Kelainan juga dapat dilihat apabila tempat duduk dan berdiri konsert ini dinamakan mengikut lagu popular kami iaitu Mat Rock, Isabella, Kejora, Pawana dan Fenomena.

“Konsert ini juga akan dirakam dalam bentuk DVD dan akan dipasarkan,” katanya.

Tambahnya, konsert bersejarah anjuran Afjets Sdn Bhd ini telah dirancang sejak empat bulan lalu dan akan mencipta sejarah muzik rock & roll serta memori lain daripada yang lain.

“Setakat ini tiada artis yang difikirkan sebagai pembuka tirai kerana kami nak sajikan persembahan Search sepenuhnya untuk tempoh selama dua jam setengah. Ini kolaborasi muzik kami yang berjaya menyatukan pelbagai bangsa,” kata Amy.

Amy ditemui pada majlis sidang media di Redland Terminal Centre & Hangar Complex di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Sdn Bhd Amrul Nizar Anuar berkata, lebih RM2 juta bakal dibelanjakan bagi menjayakan konsert istimewa ini.

“Saya sendiri adalah peminat Search. Mereka terlalu hebat sehingga membuatkan saya tak ragu-ragu menganjurkan konsert ini. Beberapa kejutan bakal diadakan pada konsert ini yang akan memberikan kenangan istimewa kepada peminat.

“Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan dan kami akan mengumumkan perkara ini mengikut fasa promosi yang sudah diatur. Diharapkan peminat Search bersabar dalam menantikan kejutan ini,” katanya.

Tiket untuk menonton berharga RM135 (Mat Rock), RM135 (Isabella), RM288 (Kejora), RM288 (Pawana) dan RM899 (Fenomena) mula dijual mulai 11 Februari di www.ticket.com.my.