Vokalis terkenal Zamani Slam nekad akan cuba berubah dan menganggap penahanannya berkaitan kes dadah pada Rabu lalu adalah tanda Tuhan masih sayangkan dirinya.

Zamani berkata demikian dalam satu temubual eksklusif oleh H! Live di sidang media khas yang diadakan sebaik sahaja penyanyi berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis pada pagi Sabtu.

Zamani turut mengakui kejadian tersebut membuatkan timbul rasa bersalah dari dirinya terhadap keluarga dan peminat khasnya.

“Ini saya anggap dugaan yang telah ditakdirkan untuk saya, apa yang terjadi adalah petanda bahawa Allah masih sayangkan saya.

Saya akan cuba berubah namun saya tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah. Saya akan berusaha walaupun pernah beberapa kali gagal sebelum ini,” katanya.



Penahanan Zamani turut menggemparkan negara apabila rakaman video dia menyanyi lagu ‘Gerimis Mengundang’ dengan tangan yang bergari telah dimuat naik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Video tersebut kemudiannya menjadi viral dan mendapat kutukan oleh ramai pihak kerana dianggap telah mengaibkan penyanyi tersebut.

Kata Zamani, ketika diminta menyanyi, dirinya hanya menurut sahaja kerana menganggap ia adalah sekadar permintaan peminat.

“Saya tak sangka jadi begini, kerana saya fikir itu hanyalah untuk simpanan peribadi. Saya harap perkara ini tidak berpanjangan kerana anggota tersebut pun melayan saya dengan baik ketika dalam reman,” ujarnya.




Perbicaraan kes penyanyi yang berusia 43 tahun ini ditetapkan Selasa ini di Mahkamah Majistret Ampang.