Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor membantah keras cadangan Hospital Ampang Puteri milik Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang berhasrat memberikan tajaan kepada pelakon Rozita Che Wan yang bakal melahirkan anaknya tidak lama lagi.

Tajaan termasuk urusan bilik bersalin, bilik penginapan, rawatan semasa serta rawatan susulan dan layanan kelas A secara percuma yang nilai sebenarnya dikatakan mampu mencecah lima angka.

Menurut penyelarasnya, Hadzril Rizal, tindakan tersebut menunjukkan KPJ tidak sensitif terhadap rakyat kebanyakan.

“Apakah asas KPJ membenarkan pengurusan Ampang Puteri untuk memberikan tajaan ini? Sedangkan ramai lagi rakyat negeri Johor yang langsung tidak dapat menikmati apa-apa keistimewaan di pusat-pusat perubatan milik KPJ,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, SAMM Johor mencari ikhtiar untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi merawat adik Mohd Aqil Rida yang berasal dari Parit Sulong, Johor yang memerlukan rawatan pembedahan jantung di Institut Jantung Negara.

“Di mana peranan KPJ? Mengapa KPJ tidak mahu menghulur bantuan rawatan percuma kepada anak kelahiran Johor seperti kes adik Mohd Aqil ini? Mengapa KPJ tidak memberikan diskaun dan insentif lain kepada anak-anak Johor terutamanya kepada kumpulan berpendapatan rendah untuk menerima rawatan yang lebih sofistikated?” katanya.

SAMM turut menggesa KPJ membatalkan penajaan tersebut.

“Mencari populariti juga bukan dengan bermaksud menaja sekelompok artis yang kaya raya sebaliknya memberikan insentif dan limpahan nikmat dunia perubatan moden kepada seluruh anak negeri Johor” kata kenyataan tersebut.

Rozita dan pelakon Zain Saidin diberitakan bakal menimang cahaya mata mereka pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh dua minggu ini.

Pasangan ini, yang melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun lepas, sebelum ini pernah menerima tajaan barang kemas bernilai RM11 juta untuk majlis resepsi mereka.