KUALA LUMPUR : Briliant, classy, and satisfying!

Tiga perkataan yang boleh digambarkan selepas menonton konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada Sabtu.

Selama 28 tahun berdiri dalam industri seni, aura penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap utuh di setiap lapisan umur dan masyarakat sehingga mampu membuatkan semua yang hadir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu 'tidak senang duduk'.

Lagu demi lagu disahut dengan nyanyian bersama peminat, selain jeritan yang tidak henti-henti memenuhi setiap sudut Axiata Arena, tanda puas dengan persembahan yang disampaikan oleh penyanyi kesayangan mereka.

Namun pelantun lagu Romansa Kita itu mengakui, semasa mula-mula mahu menganjurkan konsert ini, beliau rasa gementar dan takut kerana timbul persoalan masih adakah yang mahu hadir menonton beliau di konsert berskala besar.

“Masa nak anjurkan konsert Sebuah Epitome:Saya Siti Nurhaliza, saya nervous dan takut sebab saya rasa ada orang nak tengok konsert saya tak?


“Sebab tahun ini ramai yang buat konsert, namun anda semua membuat saya terkejut kerana dalam masa dua jam sahaja tiket sudah sold out. Saya lihat ini bukan satu perkara yang biasa namun luar biasa dan paling penting saya melihat anda bukan berlumba-lumba untuk menyumbang membuat kebajikan,” kata Siti Nurhaliza.

Kehadiran lebih kurang 10,000 peminat yang membanjiri venue adalah satu bukti bahawa peminat masih mahu memberi sokongan kepada beliau, sehinggakan masih ada lagi yang tidak berjaya untuk membeli tiket konsertnya itu.

Selama tiga jam konsert berlangsung, Siti menyampaikan lebih kurang 36 buah lagu antaranya adalah Lebih Indah, Aku Bidadari Syurgamu, Basyirah, Kurniaan Dalam Samaran, Biarlah Rahsia, Ganti, Nirmala, Kurik Kundi, dan Menyapa Dunia sebagai tanda terima kasih buat peminat yang menjadi tulang belakang beliau selama berada dalam industri seni suara.

Pada malam tersebut peminat turut dihiburkan dengan kehadiran penyanyi popular Indonesia, Judika dan nyanyian spontan bersama Syamel menerusi lagu Kalau Berkasih, nyanyian asal bersama Datuk Awie.

Foto: Razak Latif

Siti juga seolah-olah memberi sedikit gambaran bahawa Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza bukanlah satu-satunya konsert yang ada pada tahun ini.

“Saya ada 200 lagu, jadi nak nyanyi semua memang mustahil.

“Tapi tak mengapa... sebab akan ada konsert lagi buat anda pada tahun ini. Jadi kita akan masukkan lagu yang tiada pada konsert akan datang,” ujarnya.

Antara selebriti yang hadir menyaksikan konsert adalah Hael Husaini, Ernie Zakri dan Aisha Retno.

Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza berlangsung dengan jayanya di Axiata Arena. Berdasarkan rekod, konsert berkenaan habis terjual dalam masa dua jam sahaja selepas ia dibuka untuk jualan pada 21 Disember 2023.

Ia merupakan konsert keempat Siti Nurhaliza yang habis terjual dan diadakan di Axiata Arena atau sebelum ini dikenali sebagai Stadium Putra.

Difahamkan, sebahagian kutipan jualan tiket konsert anjuran Yayasan Nurjiwa iaitu pertubuhan amal diasaskan Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, itu akan disalurkan ke Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin.