Ameng pernah dipenjara selama lapan tahun bermula pada 2011 atas tiga kesalahan dengan dua daripada kerana memiliki dadah.
Muncul sebagai tetamu dalam salah satu episod Borak Dulu Baru Buka, Ameng menyifatkan pengalaman berpuasa di dalam penjara sebagai ‘keras’.
“Sambut Ramadan di dalam penjara sangat ‘keras’. Makan tidak tentu hala, berebut-rebut.
“Sahur pada pukul 11 malam, kalau tidak makan mereka akan ambil makanan yang diberi.
“Warden pula agak keras dan kita juga ada tekanan emosi. Fikir anak, isteri, ibu.
“Pada saya Ramadan lebih sedih daripada Aidilfitri,” ujar Ameng.
Meski menyifatkan Ramadan sebagai sayu namun kata penyanyi Sampai Hati ini, ia adalah bulan paling berkualiti bagi dirinya. Malah sepanjang menyambut Ramadan di penjara, Ameng berjaya khatam Al Quran sebanyak tiga kali.
“Untuk saya, hidup paling berkualiti pada Ramadan. Setiap masa duduk dalam air sembahyang.
“Saya boleh khatam tiga kali dalam Ramadan. Seratus peratus saya habiskan masa mengaji. Jadi setiap 10 hari saya dapat khatam sekali,” katanya.
Justeru Ameng menitipkan pesan buat semua umat Islam agar memberi fokus setiap Ramadan datang.
“Jika ini adalah Ramadan terakhir buat saya atau kita semua, fokus dan khusyuk. Jangan lepaskan Ramadan berlalu begitu sahaja,” pesan Ameng.
*Artikel asal yang disiarkan di Gempak