"Antara cabaran yang saya tempuhi sepanjang perjalanan saya dalam GV 3 adalah saya harus mengorbankan masa bersama anak.
"Saya akui, GV 3 membuatkan jadual saya sangat sibuk dan saya memberikan anak saya untuk dijaga oleh kakak. Jika dahulu, saya berjumpa dengan anak saya setiap hari namun sepanjang GV 3, semuanya berubah.
"Kadangkala, saya tak sempat berjumpa dengan anak sendiri. Dalam seminggu, saya hanya berkesempatan untuk menghabiskan masa satu atau dua hari sahaja bersama Rahmat.
"Selepas ini, saya berhasrat mencuri masa untuk dihabiskan bersama anak saya. Saya bakal membawanya bercuti tetapi semuanya masih belum dibincangkan lagi," kata Azharina kepada Astro Gempak.
BACA: Azharina sangat konsisten, setiap minggu dia hebat - Datuk Khadijah
BACA: Azharina dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ketiga
"Saya fikirkan selepas tamatnya GV 3, saya mahu mengambil masa rehat dua atau tiga bulan. Namun begitu, setelah menyemak semula, jadual kerjaya seni saya sebagai seorang penyanyi sudah penuh sehingga Mac tahun hadapan.
"Tawaran-tawaran tersebut datang ketika saya masih bersaing dalam GV 3 lagi. Saya sangat terharu atas sambutan yang diberikan dan berharap agar mendapat maklumbalas positif semua pihak," katanya ketika ditemui usai konsert minggu akhir GV 3.
Konsert minggu akhir menyaksikan Azharina dinobatkan sebagai juara. Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).
Seperti kebiasaan, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim berada di kerusi juri tetap manakala Datuk Jamal Abdillah dan Hetty Koes Endang menyertai mereka berdua sebagai juri jemputan.