Edisi pertama majalah ROTTW dengan Nordin Taib atau Din Search menghiasi muka depan - Sumber Foto ROTTW
Rhythms Of The Third World atau ROTTW (Irama Dunia Ketiga), satu nama besar untuk peminat muzik tempatan. ROTTW mula diterbitkan 20 tahun lalu merupakan sebuah majalah muzik Malaysia yang menyokong muzik 'underground' di Malaysia.
Diasaskan oleh Mohd Rom bin Mohd Nor atau mesra dipanggil Abang Rom, ROTTW terus mendapat tempat dihati pemuzik-pemuzik terutama yang bermain muzik rock.
ROTTW menjadi rujukan terutamanya buat band-band 'underground' dan mendapat liputan di ROTTW merupakan satu penghargaan besar, seolah-olah satu tiket untuk melonjak lebih ke atas.
Itulah pengaruh ROTTW kepada pemuzik dan band-band underground.
Selepas 20 tahun diterbitkan, ROTTW kini melangkah setapak dengan memasuki versi digital, satu langkah yang sepatutnya sudah lama dilakukan, sepertimana majalah Rolling Stone, yang beralih ke digital apabila industri penerbitan memasuki era suram.
"Ini semua untuk survive" kata Mohd Rom, sebelum menyambung;"Kena ikut sistem (peredaran zaman), ini time semua digital, kalau kau tak ikut, kau mati"
"Kalau kau nak kekal dengan rock je kau susah, boleh tu memang boleh tapi kau lawan sistem, kau sakit, kena ikut juga untuk kekal relevan.
"Kalau kau tak nak, kau bertahan dalam payah atau kau stop terus, tapi masuk digital bukan maksud kau korbankan prinsip.
"Cuma untuk digital ni, ROTTW lebih terbuka, keterbukaan perlu, ini juga untuk survive," katanya lagi.
Mohd Rom Mohd Nor pengasas majalah ROTTW - Foto Irwan Muhammad Zain
ROTTW versi digital, jelas Mohd Rom, akan ada ruang untuk sastera, filem, politik dan lukisan, tidak seperti versi cetak sebelum ini yang hanya memberi fokus kepada muzik.
Namun, biarpun beralih ke digital, ROTTW tetap akan menemui peminat-peminat setianya dalam versi cetak untuk edisi-edisi tertentu.
"Akan ada special edition yang akan dicetak, ada orang yang lebih suka yang cetak, boleh pegang dan boleh simpan, tapi tidak semua dicetak, cuma edisi tertentu, yang special," katanya.