"PEREMPUAN JAHAT", itu gelaran yang diberikan oleh penyanyi rap, Nicki Minaj kepada pengacara popular Wendy Williams.

Perkara itu bermula apabila Wendy mula menimbulkan isu mengenai kisah lampau suaminya, Kenneth Petty.

Menurut laporan media antarabangsa, Wendy menerusi rancangan bual bicaranya iaitu The Wendy Williams Show menyebut mengenai tuduhan rogol serta hukuman penjara yang pernah dihadapi oleh suami kepada penyanyi lagu Starship itu.

Bukan itu sahaja, Nicki Minaj atau nama sebenarnya Onika Tanya Maraj-Petty turut menyifatkan Wendy sebagai seorang perempuan yang tidak cukup kasih sayang kerana selalu mencari publisiti murahan di kaca televisyen.

"Mengapa setiap kali menyebut namanya anda pasti hendak mengungkit kisah silam dia sebelum ini, tidak tahu pula saya ia menjadi budaya masyarakat di sini untuk sentiasa bercakap mengenai kisah lampau seseorang itu.

"Seolah-olah manusia itu tidak akan pernah berubah," katanya.

Wendy juga bukan sahaja mengungkit kisah silam suami Nicki malah dia turut mengucapkan tahniah kepada Nicki kerana sudah berkahwin dengan seorang penjenayah.

Wendy William sebelum ini terkenal dengan kelantangannya dalam bersuara mengenai perihal selebriti lain menerusi program bual bicara kendaliannya, The Wendy Williams Show.

Bukan sahaja Nicki Minaj malah Beyonce dan Ariana Grande juga pernah menjadi mangsa kritikan Wendy.