PELAKON Hollywood warga Kanada Donald Sutherland dilaporkan meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Kematiannya disahkan anak lelaki pelakon berkenaan Kiefer Sutherland pada Khamis.

"Dengan duka cita, saya ingin memaklumkan ayah saya, Donald Sutherland, telah meninggal dunia.

"Saya secara peribadi merasakan beliau merupakan salah seorang pelakon terpenting dalam sejarah perfileman," katanya.

Mendiang, yang sebelum ini menderita akibat pelbagai penyakit, membintangi pelbagai filem termasuk memegang watak sebagai Presiden Snow dalam  'The Hunger Games' dan 'Don't Look Now'.

Antara rakan pertama mengucap takziah adalah pelakon Rob Lowe yang pernah berlakon bersama Sutherland dalam siri mini 'Salem's Lot'.

Dalam catatan di platform X miliknya, Lowe menyifatkan Sutherland sebagai "salah seorang pelakon terbaik" dalam industri perfileman.

"Saya sangat berbangga dapat bekerja bersamanya selama beberapa tahun dan saya tidak akan lupakan karisma yang dimilikinya," katanya.


Sementara itu seorang lagi pelakon, Cary Elwes, yang pernah berlakon bersama Sutherland dalam filem 'Uprising' terkejut dengan berita kematian itu.

"Saya sangat bersedih namun bersyukur dapat mengenali dan bekerja bersama Sutherland," tulisnya dalam catatan di akaun Instagram miliknya.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau turut merakam ucapan takziah kepada keluarga Sutherland.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Sutherland dan seluruh rakyat Kanada yang sedang bersedih dengan berita kematiannya," katanya.

Sutherland dilahirkan di New Brunswick, Kanada dan memulakan kariernya sebagai wartawan stesen radio sebelum ke London pada tahun 1957 bagi meneruskan pengajian di London Academy of Music and Dramatic Art.

Beliau kemudian mendapat peranan kecil dalam filem dan siri televisyen British.

Sutherland mula dipandang serius apabila membintangani filem berprofil tinggi seperti 'The Dirty Dozen' pada tahun 1967 dan 'Kelly's Heroes' serta 'M*A*S*H*' dari tahun 1970.

Mendiang juga pernah berlakon bersama Jane Fonda dalam filem 'Klute'.

Walaupun Sutherland sering memegang watak dalam filem yang memenangi Oscar, dia tidak pernah tercalon untuk anugerah itu.

Namun dia menerima anugerah Honorary Academy Award pada tahun 2017.